Filem Sully mengisahkan tentang seorang juruterbang yang berjaya mendaratkan kapal terbang yang rosak di Sungai Hudson dengan selamat. Selepas diselamatkan, Kapten “Sully” melangkah turun dari feri penyelamat, dan berkata kepada seorang pegawai, “Saya perlu tahu siapa yang cedera dan sejauh mana tahap kecederaannya, dan semuanya ialah 155 orang ya, termasuk penumpang dan anak kapal.” Pegawai itu bertanya, “Baik. Bagaimana dengan tuan?” Sully menjawab, “Saya akan jawab soalan itu selepas kita sudah kira semua 155 orang.”

Yesus juga mengambil berat tentang bilangan. Dia ialah Gembala yang Baik yang meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor untuk mencari seekor domba yang hilang. Apabila Dia menjumpai domba itu, “kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat” (Matius 18:13,TMV). Ini tidak bermakna domba yang hilang itu lebih penting daripada yang lain, tetapi ada rasa lega dan gembira apabila yang hilang itu dijumpai. Seperti para penumpang kapal terbang Sully berasa sangat gembira kerana terselamat dari saat yang hampir mati, begitulah juga di syurga ada sukacita besar apabila seseorang diselamatkan oleh Tuhan.

Adakah anda mengenali mana-mana ‘domba’ yang hilang? Seseorang yang kelihatan sangat sukar didekati? Doakan mereka. Berusahalah untuk berkongsi kasih Yesus dengan mereka. Jangan berputus asa sebelum mereka percaya kepada Kristus.

Sully terus bertanya kepada sesiapa sahaja yang mahu mendengar, “Saya perlu kira semua orang. Kita mesti tahu jumlahnya.” Akhirnya, seorang pegawai masuk ke wad Sully yang dia sedang diperiksa. Dia tersenyum, “Sudah dapat jumlahnya. 155 orang.”