Semasa kecil, saya gemar pergi ke Chick-fil-A, sebuah restoran makanan segera di Amerika Syarikat untuk makan kentang goreng wafel dan minum teh manis. Apabila saya dewasa dan berpindah ke negeri lain, saya amat terkejut kerana tiada satu pun cawangan restoran itu dalam jarak ratusan kilometer! Semasa perjalanan jauh bersama keluarga, kami malah merancang laluan perjalanan yang membolehkan kami singgah di Chick-fil-A, sambil berharap suatu hari nanti akan ada cawangan yang dibuka lebih dekat dengan rumah kami.

Rasa rindu dan mendambakan sesuatu—kita semua pernah mengalaminya. Walaupun apa yang kita rindui tidak semestinya keperluan utama kita, seperti makan di restoran kegemaran. Namun, ada kalanya kerinduan itu mencerminkan hasrat kita yang lebih mendalam dan mendesak.

Ketika menulis kepada orang-orang percaya di Filipi, Paulus mengingatkan mereka agar menjalani kehidupan mereka berlandaskan kerinduan mereka yang terdalam, iaitu menanti-nantikan kedatangan Kristus semula dan kedatangan Kerajaan-Nya (Filipi 3:20). Kedatangan Yesus akan menjadikan segala sesuatu sempurna dan mengubah tubuh orang percaya yang hina supaya menjadi serupa dengan tubuh-Nya yang mulia (ayat 21).

Paulus menasihati bahawa orang Kristian janganlah hanya merindukan apa yang tidak dapat membawa kepuasan kekal, tetapi realiti sebenar yang seharusnya mereka “nanti-nantikan” (ayat 20) ialah berjumpa dengan Yesus secara bersemuka. Masa itu masa yang tiada lagi penderitaan.

Apabila kita mengetahui bahawa kerinduan rohani kita akan dipenuhi pada suatu hari kelak, itu memberi kita harapan dan kekuatan untuk hidup demi Kristus setiap hari (ayat 12-14).

Sebuah cawangan restoran Chick-fil-A baru sahaja dibuka beberapa kilometer dari rumah saya. Ini merupakan satu peringatan kecil bahawa satu kerinduan yang jauh lebih penting juga akan terkabul suatu hari kelak. Sementara itu, kita sabar sahaja menanti.