Semasa Oswald Chambers, pengarang buku My Utmost for His Highest, mengendalikan sebuah kolej Alkitab kecil, dia mendapat tahu bahawa sepasang suami isteri yang bekerja di situ telah mencuri barang bekalan. Walaupun terkadang adalah wajar untuk menegur kesalahan, Oswald memilih untuk tidak terus menegur mereka. Sebaliknya, dia berdoa agar Tuhan menginsafkan mereka tentang perbuatan itu. Beberapa minggu kemudian, pasangan itu sendiri mengakui kesalahan mereka dan meluahkan rasa menyesal. “Saya sudah tahu perkara itu sejak awal,” kata Oswald, “tetapi kami mahu menunggu sehingga Roh Tuhan sendiri yang berbicara kepada kamu.” Peristiwa itu benar-benar menyentuh dan mengagumkan hati mereka, lalu pasangan itu menyerahkan hidup mereka kepada Yesus.

Sebelum Yesus disalibkan, Dia berjanji kepada para murid-Nya bahawa Roh Kudus akan bekerja dalam hati mereka: “Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran” (Yohanes 16:13). Para murid Yesus sangat bersedih apabila memikirkan bahawa Yesus akan pergi, tetapi Yesus meyakinkan mereka bahawa ini adalah untuk kebaikan mereka. Setelah itu, “Penolong”, iaitu Roh Kudus, akan datang kepada mereka (ayat 7). Melalui Roh Kudus, “Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman” (ayat 8). Roh Kudus juga akan membimbing orang “ke arah segala kebenaran” (ayat 13).

Roh Kudus masih terus bekerja dalam hidup manusia hingga sekarang agar kita tidak “sesat” [atau “tidak lagi percaya”] (ayat 1), tetapi menikmati hidup yang kekal. Tuhan memberikan “Penolong”, (iaitu Roh Kudus) kepada kita untuk menginsafkan kita apabila kita berbuat salah, menghibur kita apabila kita bersedih, dan memimpin kita untuk menyembah Tuhan.