Kaktus Saguaro membesar secara perlahan sekali. Ia hidup subur di salah sebuah kawasan padang pasir yang paling tandus di dunia. Dalam hayatnya, pertumbuhan kaktus tersebut adalah tetap dan berterusan. Kaktus Saguaro mungkin hanya membesar kira-kira 3.8 sentimeter sahaja dalam 10 tahun. Ia mungkin mengambil masa 30 tahun untuk berbunga, dan ‘lengan’ atau cabangnya pula mungkin mengambil masa 50 tahun untuk terbentuk. Namun begitu, hayat kaktus boleh mencapai sehingga 200 tahun, mencapai ketinggian 13.7 meter dan berat sehingga 2 tan. Sepanjang hayat, kaktus Saguaro menghasilkan kira-kira 40 juta biji benih yang menakjubkan. Pertumbuhan kaktus ini memang lambat, tetapi sangat tahan lasak.
Yesus menggunakan gambaran pertanian untuk menerangkan bagaimana orang yang percaya kepada-Nya bertumbuh dalam kerajaan Tuhan. Dalam sebuah perumpamaan tentang benih yang ditabur di pelbagai jenis tanah, Dia membuat kesimpulan dengan menggambarkan bahawa benih terakhir “jatuh di tanah yang baik … lalu menghasilkan buah seratus kali ganda daripada yang ditabur” (Lukas 8:8). Kristus menjelaskan bahawa benih yang ditabur “di tanah yang baik” bermaksud orang yang “mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan usaha tekun dia mengeluarkan buah” (ayat 15). Orang yang benar-benar menerima ajaran Tuhan akan bertumbuh dan menghasilkan buah yang berlimpah-limpah asalkan orang itu menerima hikmat Tuhan dan kemudian dengan sabar membenarkan Roh Kudus menghasilkan pertumbuhan rohani dalam diri kita.
Biasanya beginilah caranya pertumbuhan rohani berlaku. Kita mungkin mengalami lonjakan pertumbuhan yang cepat sekali, tetapi kemajuan kita biasanya akan perlahan, ketika kita menerima hikmat Tuhan, mengikuti jalan-Nya, dan menyaksikan Roh Kudus bekerja di dalam diri kita.
ILHAM
Apabila bercakap tentang pertumbuhan rohani, kadangkala kita gagal mempertimbangkan bagaimana pertumbuhan berlaku dalam bidang kehidupan yang lain. Menjadi semakin serupa dengan Yesus memerlukan masa. Perumpamaan tentang penabur dalam Lukas 8 turut menekankan unsur masa. Perkataan usaha tekun (ayat 15) diterjemahkan daripada perkataan Yunani hypomonē, yang bermaksud “menunggu dengan sabar dan tetap teguh.” Berikut ialah cara yang mudah untuk mengingati kepentingan masa dalam pertumbuhan rohani: Benih yang baik di tanah yang baik menghasilkan buah yang baik pada musimnya. Kita boleh memohon kepada Tuhan supaya menolong kita mempercayai-Nya, sementara itu, Roh Kudus menghasilkan pertumbuhan dalam diri kita.
