Sebagai pemain untuk pasukan besbol San Francisco Giants, Drew Robinson mengetahui suka duka emosi dan mental. Setiap kali mengalami kecederaan, dia diturunkan ke liga kecil gabungan Giants, dan ini akan menyebabkan dia mengalami kemurungan. Adakah saya akan digantikan? Adakah saya akan pulih? Di rumah, ketika menonton rakan sepasukan bermain di TV, “Saya rasa terasing, dan sungguh kesunyian.” Selepas percubaan bunuh diri semasa pandemik, dia berkongsi masalahnya dengan ahli psikologi pasukan Giants. Dia mendapat begitu banyak bantuan sehingga dia menggesa pemain lain untuk tampil dengan perjuangan mental mereka. Kini dia merupakan penyokong kesihatan mental sepenuh masa Giants, menggesa pemain yang kuat secara fizikal untuk mendapatkan kesihatan mental yang kuat juga. Selepas mengharungi keadaan yang paling buruk, Robinson percaya tujuannya adalah untuk menggalakkan orang lain.
Alkitab menganggap minda yang sihat dan waras sebagai satu matlamat yang bijak, tetapi juga sebagai suatu rahmat Tuhan yang penuh kasih. Dalam lagu, nabi Yesaya berkata tentang Tuhan, “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu” (26:3). Betapa menghiburkan janji itu pada saat kita menghadapi kesusahan besar! Dosa dan pemberontakan telah membuat hati umat Tuhan menjauh daripada Tuhan, sehingga fikiran dan minda mereka kacau-bilau. Jadi Yesaya menggesa mereka, “Percayalah kepada TUHAN untuk selama-lamanya, kerana TUHAN ALLAH sajalah, batu pejal yang kekal” (ayat 4).
Pada saat kita menjadi risau dan cemas, kita juga boleh mempercayai Tuhan sepanjang perjalanan hidup kita. Apabila kita memfokuskan minda kepada-Nya, kepercayaan kita akan diarahkan kepada Yesus, sumber kedamaian kita setiap hari.
ILHAM
Kitab Yesaya boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama. Dalam buku komentari The Bible Knowledge Commentary (Komentari Pengetahuan Alkitab), J.A. Martin menulis: “Ada yang berpendapat bahawa kitab ini mempunyai dua tema, iaitu satu untuk fasal 1-39 dan satu lagi untuk fasal 40-66. Penghakiman nampaknya menjadi penekanan dalam bahagian pertama, manakala penyelamatan dan penghiburan lebih menonjol dalam bahagian kedua.” Ini menjadikan Yesaya 26 begitu bermakna kerana fasal ini terletak dalam bahagian kitab yang kebanyakannya bercakap tentang penghakiman. Namun begitu, walaupun penekanannya adalah pada penghakiman, belas kasihan Tuhan terhadap umat-Nya tetap terserlah. Ayat 3 mengatakan: “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu.” Tidak kira apa pun keadaan yang kita sedang lalui, Tuhan menawarkan damai sejahtera-Nya yang tidak dapat disangkal kepada mereka yang menumpukan hati dan fikiran kepada-Nya.
