“Saya telah mencarinya sepanjang hidup saya.” Dengan linangan air mata, Bill Cordes mengucapkan kata-kata itu setelah bertemu semula dengan adik lelakinya, Robert. Kedua-dua adik-beradik itu telah berpisah selama lapan puluh tahun ketika Robert baru berusia empat bulan, akibat situasi keluarga yang bermasalah. Akhirnya, cucu perempuan Bill membantunya mencari adik lelaki bongsunya—seseorang yang tidak pernah berhenti difikirkan dan dicari sepanjang hidupnya.
Dalam Lukas 15, Yesus menceritakan tiga perumpamaan tentang seseorang yang tidak berhenti mencari sesuatu atau seseorang yang berharga. Dalam perumpamaan tentang domba yang hilang, Yesus berkata kepada orang Farisi yang mencabar-Nya: jika seorang gembala kehilangan seekor daripada seratus ekor dombanya, tidakkah dia akan “meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba di padang lalu pergi mencari domba yang hilang itu sehingga ditemukannya?” (ayat 4). Apakah maksudnya? Orang Farisi—yang diibaratkan sebagai “sembilan puluh sembilan ekor”—menganggap diri mereka benar di hadapan Tuhan, padahal sebenarnya tidak. Kristus berkata kepada mereka, “begitu jugalah kegembiraan di syurga kerana seorang yang berdosa bertaubat lebih daripada kegembiraan ke atas sembilan puluh sembilan orang yang benar yang tidak perlu bertaubat” (ayat 7).
Gembala Agung kita tidak pernah berhenti mencari kita, Dia juga tidak akan berhenti mencari orang lain. Apabila kita bertaubat dan menerima keselamatan dalam Kristus, terdapat sukacita besar di syurga—di hati Tuhan—kerana yang “sesat … ditemukan kembali” (ayat 32). Oh, alangkah besarnya sukacita yang kita alami apabila ditemukan oleh Tuhan yang mencari kita!
ILHAM
Dalam petikan ini, Yesus menunjukkan sukacita yang berlaku apabila seorang berdosa “bertaubat” (Lukas 15:7). The Baker Encyclopedia of the Bible (Ensiklopedia Alkitab Baker) mentakrifkan bertaubat sebagai “perubahan dalam seluruh keperibadian seseorang daripada menjalani kehidupan yang berdosa kepada kehidupan yang berpusat kepada Tuhan.” Ia adalah perubahan sepenuhnya. Tema pertaubatan terdapat di seluruh Alkitab, terutamanya ditekankan dalam pelayanan Kristus dan Yohanes Pembaptis. Kitab Markus memberitahu kita, “Yohanes muncul di gurun, membaptis orang dan mengkhabarkan satu baptisan pertaubatan untuk pengampunan dosa” (1:4). Malah, kata-kata pertama Yohanes yang dicatatkan ialah, “Bertaubatlah, kerana kerajaan syurga hampir tiba” (Matius 3:2). Pelayanan Yesus juga bermula dengan perkhabaran yang sama (4:17). Sebagai orang berdosa, kita semua perlu bertaubat: “Jika kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa sedemikian juga” (Lukas 13:3, 5). Jalan menuju penyelamatan adalah melalui kepercayaan kepada Kristus, yang telah mati supaya kita mendapat hidup kekal (Yohanes 3:16).
