Cahaya Artik aurora borealis (cahaya kutub utara) terkenal dengan cahaya berwarna hijau dan ungu yang berkilauan, tetapi tahukah anda ia juga memancarkan gelombang elektromagnet (radio) frekuensi rendah? Dengan menggunakan peranti khas, tenaga ini boleh menukar isyarat radio semula jadi ini kepada bunyi desiran dan bunyi berderak yang boleh didengar. Walau bagaimanapun, untuk merakam getaran tenaga elektrik dan magnet yang tidak dapat didengar ini, anda mesti bergerak sekurang-kurangnya 6 kilometer jauhnya dari sumber bunyi manusia atau peralatan elektrik yang boleh mengganggu penerima radio.
Ada kalanya kita juga perlu meninggalkan kebisingan hidup kita untuk mendengar suara Tuhan. Kitab Markus menyatakan Yesus bangun ketika masih subuh dan mencari tempat yang “sunyi” untuk berdoa (1:35). Dia telah berjaga sehingga larut malam, menyembuhkan dan membebaskan orang daripada roh-roh jahat (ayat 21-32). “Semua penduduk kota” telah melihatnya (ayat 33). Bolehkah anda bayangkan kegembiraan dan kekaguman mereka? Tetapi walaupun Yesus dengan rela hati melayani mereka, pengalaman itu mungkin juga meletihkan.
Maka pada keesokan paginya, Yesus meluangkan masa untuk mencari ketenangan di hadirat Bapa, walaupun orang ramai sedang mencari-Nya (ayat 37). Kita dapat melihat teladan Yesus bahawa Dia mengutamakan masa bersendirian dalam doa.
Hari ini, berehatlah seketika dan dengarkan suara Tuhan dalam kesunyian (Mazmur 46:10). Biarkan Dia menyusun semula keutamaan anda dan menyegarkan jiwa anda supaya anda dapat menikmati kedamaian yang ditawarkan-Nya.
Mengapakah anda berasa sukar untuk meluangkan masa berdiam diri bersama-Nya?
ILHAM
Yesus menunjukkan teladan yang sempurna dalam banyak perkara, termasuk menjadikan doa sebagai keutamaan dalam kehidupan-Nya. Mungkin teladan inilah yang mendorong para murid-Nya meminta Dia mengajar mereka tentang perkara penting ini. Lukas 11:1 mengatakan, “Yesus berdoa di suatu tempat dan setelah Dia berhenti, seorang daripada murid-Nya berkata, ‘Tuhan, ajarlah kami berdoa seperti Yohanes mengajar murid-muridnya.’ ” Kristus menjawab dengan memberikan mereka satu contoh doa yang kita kenali sebagai Doa Tuhan. Doa ini bermula dengan memberi tumpuan kepada peribadi, kekudusan, dan kerajaan Bapa Syurgawi kita (ayat 2). Kemudian, doa itu beralih kepada keperluan harian kita—termasuk keperluan asas seperti makanan harian kita (ayat 3). Yesus mengakhiri doa itu dengan menyatakan keprihatinan terhadap hubungan kita dengan orang lain (ayat 4). Dalam beberapa kata sahaja, Dia memberi kita panduan yang sangat indah untuk doa kita sendiri. Apabila kita meninggalkan kesibukan dan kebisingan di sekeliling kita untuk berdoa kepada Bapa Syurgawi kita, kita dapat mendengar Dia berfirman kepada kita.
