Ketika Asheton bertemu dengan Nick, dia menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sesat arah, tiada tujuan hidup, dan dia tidak bangga dengan kelakuannya sendiri pada waktu itu. Baru-baru ini, Nick juga telah melalui pengalaman yang serupa dan dalam proses itu dia kembali berhubung dengan Tuhan. Nick berkongsi dengan Asheton bahawa dia menggambarkan Tuhan seperti seorang tukang periuk yang penuh kasih, yang telah membentuk semula hidupnya serta memberinya harapan pada masa yang sukar itu. Kemudian, mereka berdua berkahwin dan menceburi bidang tembikar sebagai hobi. Kini, mereka menawarkan kelas tembikar sambil menggalakkan para peserta bahawa “anda semua adalah istimewa dan diciptakan menurut kehendak Tuhan.”
Tuhan menyamakan diri-Nya sebagai seorang tukang periuk ketika berkomunikasi dengan nabi Yeremia. Dia mengarahkan Yeremia untuk memerhatikan cara seorang tukang periuk membentuk semula periuk yang rosak supaya menjadi periuk yang baharu, “menurut apa yang dipandang baik olehnya” (Yeremia 18:4). Tuhan menyingkapkan kepada nabi itu tentang kuasa-Nya yang boleh membentuk dan “mengukur” semula orang Israel—sama ada menanam atau mencabut mereka mengikut respons mereka terhadap perintah-Nya. Dia memanggil Yeremia untuk memberitakan mesej pertaubatan dan harapan bagi bangsa Israel, bahawa “Sesungguhnya, seperti tanah liat di tangan tukang periuk, demikianlah kamu di tangan-Ku, wahai keturunan kaum Israel! ” (ayat 6).
Pesanan Yeremia telah diisytiharkan kepada bangsa Israel, tetapi prinsip ini juga relevan bagi kehidupan peribadi kita. Apabila kita menyedari bahawa kita telah menyimpang daripada kebenaran Tuhan dalam pemikiran dan perbuatan, kita boleh mencari Tuhan kita, yakni Tukang Periuk, untuk meminta pertolongan. Apabila kita mengakui kesalahan dan memohon bimbingan serta hikmat-Nya untuk mengubah cara hidup kita, kita boleh percaya bahawa Dia akan membentuk semula diri kita dengan tangan-Nya yang penuh kasih.
ILHAM
Dalam Yeremia 18, gambaran seorang tukang periuk bekerja dan membentuksemula sebuah bejana tanah liat menjelaskan kedua-dua rahmat dan kuasa Tuhan, serta keseriusan dosa. Pernyataan bahawa “bejana yang dibuatnya daripada tanah liat itu rosak ditangannya” (ayat 4) menunjukkan bahawa ketidaksempurnaan tanah liat itu menghalang tukang periuk daripada membuat bejana itu seperti yang diinginkan pada asalnya. Begitu juga, jika umat Tuhan terus memberontak terhadap-Nya, mereka tidak boleh berharap untuk mengalami berkat-Nya sepenuhnya. Sepertimana tukang periuk yang terpaksa menghasilkan bejana yang kurang baik kerana keadaan bahan yang digunakan, Tuhan akan membalas pemberontakan mereka dengan penghakiman (ayat 9-10). Akan tetapi, rahmat-Nya tetap tidak berubah dan sentiasa tersedia. Jika pada bila-bila masa umat-Nya bertaubat, Tuhan akan “menarik kembali malapetaka” dan tidak menghantarkan penghakiman (ayat 7-8). Begitu juga pada hari ini, apabila kita menyimpang daripada kebenaran Tuhan, rahmat dan pemulihan-Nya sentiasa tersedia bagi kita.
