Ketika Asheton bertemu dengan Nick, dia menggambarkan dirinya sebagai seorang yang sesat arah, tiada tujuan hidup, dan dia tidak bangga dengan kelakuannya sendiri pada waktu itu. Baru-baru ini, Nick juga telah melalui pengalaman yang serupa dan dalam proses itu dia kembali berhubung dengan Tuhan. Nick berkongsi dengan Asheton bahawa dia menggambarkan Tuhan seperti seorang tukang periuk yang penuh kasih, yang telah membentuk semula hidupnya serta memberinya harapan pada masa yang sukar itu. Kemudian, mereka berdua berkahwin dan menceburi bidang tembikar sebagai hobi. Kini, mereka menawarkan kelas tembikar sambil menggalakkan para peserta bahawa “anda semua adalah istimewa dan diciptakan menurut kehendak Tuhan.”

Tuhan menyamakan diri-Nya sebagai seorang tukang periuk ketika berkomunikasi dengan nabi Yeremia. Dia mengarahkan Yeremia untuk memerhatikan cara seorang tukang periuk membentuk semula periuk yang rosak supaya menjadi periuk yang baharu, “menurut apa yang dipandang baik olehnya” (Yeremia 18:4). Tuhan menyingkapkan kepada nabi itu tentang kuasa-Nya yang boleh membentuk dan “mengukur” semula orang Israel—sama ada menanam atau mencabut mereka mengikut respons mereka terhadap perintah-Nya. Dia memanggil Yeremia untuk memberitakan mesej pertaubatan dan harapan bagi bangsa Israel, bahawa “Sesungguhnya, seperti tanah liat di tangan tukang periuk, demikianlah kamu di tangan-Ku, wahai keturunan kaum Israel! ” (ayat 6).

Pesanan Yeremia telah diisytiharkan kepada bangsa Israel, tetapi prinsip ini juga relevan bagi kehidupan peribadi kita. Apabila kita menyedari bahawa kita telah menyimpang daripada kebenaran Tuhan dalam pemikiran dan perbuatan, kita boleh mencari Tuhan kita, yakni Tukang Periuk, untuk meminta pertolongan. Apabila kita mengakui kesalahan dan memohon bimbingan serta hikmat-Nya untuk mengubah cara hidup kita, kita boleh percaya bahawa Dia akan membentuk semula diri kita dengan tangan-Nya yang penuh kasih.