Selama bertahun-tahun, harapan telah menjadi salah satu perkataan yang paling banyak dicari di internet. Secara mengejut, kadar pencarian perkataan ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan isu krisis politik dan cara untuk menjana pendapatan dalam talian. Ini menunjukkan bahawa orang ramai sedang mencari makna yang lebih mendalam. Tahun-tahun kebelakangan ini tidak banyak membawa rasa optimis; sebaliknya ia terasa seperti krisis yang berpanjangan dan perlahan. Kebimbangan tentang alam sekitar, ketidakstabilan ekonomi, tekanan yang berpunca daripada dunia digital sering menjadi tajuk utama dalam berita dan mempengaruhi emosi manusia. Namun di tengah-tengah semua cabaran ini, berjuta-juta orang masih menaip perkataan harapan di Internet, seolah-olah mereka sedang mencari sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka daripada kekacauan hidup.

Paulus memahami bahawa Tuhan ialah Peribadi yang melangkaui segala kekacauan dunia. Apabila dia menulis tentang “Allah, sumber harapan” (Roma 15:13), dia mahu orang Rom yang percaya kepada Yesus memahami bahawa Tuhan ialah sumber dan tujuan harapan mereka. Paulus mengingatkan kita bahawa harapan sejati bukan sekadar angan-angan atau optimisme (sikap atau pandangan yang positif) sementara; sebaliknya, ia bergantung pada sifat dan kesetiaan Tuhan. Dialah yang menanamkan keyakinan dalam diri kita melalui janji-janji-Nya. Dia juga memberikan “kesabaran dan galakan” (ayat 5) melalui kuasa Roh Kudus. Harapan ini tetap teguh dalam apa jua keadaan, memenuhi kita dengan kegembiraan dan kedamaian apabila kita menyedari bahawa Tuhan telah menerima kita dalam Kristus (ayat 7).

Jika anda sedang mencari harapan, arahkanlah hati anda kepada Tuhan. Apabila anda mempercayai janji-janji-Nya dan bersandar pada kesetiaan-Nya, anda akan memiliki harapan abadi yang hanya terdapat dalam Dia.