Saya tidak menyukai Sadie. Rakan sekerja saya itu sering bersikap kasar terhadap saya, jadi saya cuba mengelakkannya. Oleh itu, apabila dia mendengar tentang pertemuan penginjilan di gereja saya dan bertanya sama ada dia boleh ikut bersama, saya tidak begitu ambil peduli. “Tengoklah nanti,” saya menggumam.
Hari-hari berlalu, dan topik itu seolah-olah dilupakan. Namun Tuhan tidak melupakannya. Saya dapat merasakan dorongan-Nya, seolah-olah Dia menanti saya untuk menghulurkan tangan dan menunjukkan kebaikan kepada Sadie. Pada suatu hari, ketika saya sedang berdoa, satu soalan terlintas di fikiran saya: Adakah respons anda terhadap Sadie itu benar dan menyenangkan hati Tuhan?
Alamak! Soalan itu mengingatkan saya tentang soalan yang Tuhan bertanya kepada nabi Yunus selepas penduduk Niniwe bertaubat: ”Patutkah engkau marah?” (Yunus 4:4). Yunus telah memberi amaran kepada orang Niniwe tentang penghakiman Tuhan atas dosa mereka (3:1-4). Namun, anehnya, apabila mereka bertaubat dan Tuhan “tidak mendatangkan malapetaka seperti yang dirancangkan-Nya terhadap mereka” (ayat 10), Yunus “amat tidak senang hati lantas dia menjadi marah” (4:1). Dia beranggapan bahawa musuh Israel (orang Niniwe) yang kejam itu telah terlepas dengan begitu sahaja dan sepatutnya dihukum (ayat 1-3).
Tetapi Tuhan membetulkan Yunus dengan menunjukkan kekurangan belas kasihannya terhadap orang Niniwe, yang tidak memahami kebenaran rohani sepenuhnya (ayat 5-11). Tuhan, “pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih” (ayat 2), mengambil berat tentang kesejahteraan semua orang, tanpa mengira apa yang telah dilakukan mereka. Marilah kita juga menghulurkan belas kasihan Tuhan kepada orang lain. Dengan demikian mereka juga dapat mengenal serta mengasihi Tuhan.
ILHAM
Yunus mahu Tuhan menghancurkan penduduk Niniwe yang jahat dan menjadi marah apabila Tuhan tidak mendatangkan malapetaka ke atas mereka (3:10-4:1). Bahkan, Yunus mempersoalkan Tuhan yang “pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah ruah kasih” (Yunus 4:2). Yunus tidak mahu Dia meluaskan rahmat-Nya kepada orang bukan Yahudi. Namun, Tuhan kita yang berdaulat berhak menunjukkan belas kasihan kepada sesiapa sahaja yang dipilih-Nya (ayat 11; baca Keluaran 33:19; Roma 9:15). Sebagai orang yang percaya kepada Yesus dan “umat terpilih[-Nya]” (1 Petrus 2:9), kita hendaklah “menurut teladan Tuhan” (Efesus 4:24)—bersifat belas kasihan, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar (Kolose 3:12-14). Pada hari ini, Tuhan akan menolong kita menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, bahkan kepada orang yang sukar untuk kita hadapi.
