Pada bulan September 1963, seniman Wales Jon Petts terdengar berita tentang pengeboman bermotifkan perkauman di Gereja Baptist 16th Street Birmingham, Alabama, yang telah membunuh tiga orang gadis Afrika Amerika. Untuk membantu, dia menawarkan diri untuk menggantikan tingkap kaca berwarna yang pecah di gereja. Penduduk Wales segera mengumpulkan dana untuk projek itu.
Tingkap gantian Petts menggambarkan Yesus di kayu salib. Tangan kanan-Nya menekan bingkai, melambangkan penolakan-Nya terhadap kebencian, manakala tangan kiri-Nya terbuka, yang melambangkan pengampunan-Nya. Di bahagian bawah tingkap tertera perkataan: ENGKAU LAKUKANNYA BAGIKU. Orang ramai tertanya-tanya, kepada siapa kata-kata itu ditujukan—kepada golongan rasialis yang melakukan jenayah itu, atau kepada orang Wales yang mendermakan tingkap kaca tersebut?
Mungkin kita tidak perlu memilih. Sebelum bertaubat, Saulus menganiaya murid-murid Yesus (Kisah Para Rasul 9:1-2). Tetapi ketika Kristus menampakkan diri kepadanya, Dia bertanya, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?” (ayat 4). Yesus begitu akrab dengan umat-Nya sehingga jika umat-Nya disakiti atau diberkati, itu bermakna Yesus sendirilah yang disakiti atau diberkati.
Seperti Saul, kita dapat melihat bahawa Yesus menolak kebencian dan menawarkan pengampunan yang mengubahkan hidup (Kisah Para Rasul 9:17-20). Tangan kanan dan kiri-Nya sentiasa bekerja bersama untuk menolong, dan Dia tidak pernah membiarkan umat-Nya yang menderita.
Bagaimanakah ia dapat mengubah pandangan anda tentang bermurah hati terhadap sesiapa sahaja orang percaya yang memerlukan?
dengan melayani umat-Mu yang menderita hari ini.
ILHAM
Orang yang percaya kepada Yesus digambarkan secara khusus sebagai “orang yang beriman kepada Kristus Yesus” (Efesus 1:1; lihat Kolose 1:2). Paulus berkata bahawa kita yang “ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus” (Roma 12:5). Hubungan yang erat antara Yesus sebagai “Kepala” gereja sebagai tubuh-Nya (Efesus 4:15), jelas dinyatakan apabila Dia memberi amaran kepada Saul bahawa serangan terhadap gereja merupakan penganiayaan terhadap-Nya (Kisah Para Rasul 9:4-5). Dalam Injil Lukas, Kristus mengajar melalui sebuah perumpamaan tentang menolong orang yang dalam keperluan (10:25-37). Dalam perumpamaan yang lain, Dia berkata bahawa setiap pertolongan yang diberikan kepada orang percaya merupakan pelayanan yang diberikan kepada-Nya Sendiri (Matius 25:40). Pada hari ini, kita haruslah “berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman” (Galatia 6:10), kerana kita tahu bahawa apabila kita melayani mereka yang menderita, kita melayani Yesus.
