Satu promosi buku yang sangat menarik telah menawarkan peluang kepada pembaca untuk melihat nama mereka dicetak melalui satu lelongan buku. Peserta yang berminat boleh membayar wang agar nama mereka digunakan sebagai nama watak dalam novel yang bakal ditulis oleh seorang penulis terkenal yang bukunya laris dijual. Pembida tertinggi dalam lelongan itu mendapat peluang untuk memilih nama yang akan digunakan dalam buku yang bakal ditulis itu. Wang yang dikumpulkan akan disalurkan kepada badan amal, dan pada masa yang sama novel itu turut dipromosikan.
Ramai orang suka melihat nama mereka dicetak dalam bahan bertulis. Ia adalah cara untuk mereka dikenali atau “dilihat”. Tetapi yakinlah, Tuhan yang jauh lebih penting sudah pun mengetahui nama anda dan sudah pun melihat anda.
Apabila Yesaya mengingatkan orang Israel tentang kasih Tuhan, dia berkata, “[Tuhan] telah memanggil engkau dengan namamu; engkau milik-Ku” (Yesaya 43:1). Nabi itu mengingatkan umat-Nya tentang perjanjian Tuhan dengan mereka sejak zaman Abraham (rujuk Kejadian 12:1-3). Walaupun pada waktu itu umat Israel mungkin merasakan mereka ditinggalkan, Yesaya menegaskan bahawa Tuhan mengetahui keperluan mereka dan sentiasa menyertai mereka (Yesaya 43:2-5).
Begitu juga, mereka yang percaya kepada Yesus dikenali oleh Tuhan. Yohanes 10:3 mengatakan, “Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.” Kita dikenali oleh Tuhan ketika kita mengikut-Nya dan hidup menurut firman-Nya. Kita dikenali dan dikasihi. Tuhan melihat kita dan mengenal kita secara peribadi, bahkan memanggil kita dengan nama.
kerana Engkau mengenal dan melihat aku.
ILHAM
Oleh sebab bangsa Israel terus tidak setia kepada Tuhan dan enggan bertaubat, Tuhan membuang mereka ke Babel (Yesaya 39:6-7). Namun, Dia meyakinkan mereka, “Aku akan menyertaimu” (43:2; lihat ayat 5). Dia juga berjanji untuk membawa mereka kembali ke tanah yang telah dijanjikan-Nya (ayat 2-6). Dengan penuh kasih, Dia memanggil mereka “anak-anak lelaki-Ku … anak-anak perempuan-Ku … iaitu semua orang yang disebutkan dengan nama-Ku” (ayat 6-7).
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita juga dipanggil oleh Tuhan. Paulus berkata, “Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus” (Efesus 1:4 TMV). Yesus memanggil kita dengan nama dan memimpin kita untuk mengikut-Nya (Yohanes 10:3). Kita tidak perlu takut akan ketidakpastian masa hadapan kita kerana Tuhan telah berjanji: “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau. Aku telah memanggil engkau dengan namamu, engkau milik-Ku” (Yesaya 43:1). Dia mengenali kita dan telah menulis nama kita “dalam Kitab Hidup” (Filipi 4:3; baca Wahyu 20:12-15).
