Dalam sepucuk surat bertarikh 13 September 1943, lima bulan selepas dipenjarakan kerana menentang rejim Nazi, Dietrich Bonhoeffer menulis surat kepada ibu bapanya. Dia meminta buku dan kertas, serta mengucapkan terima kasih atas bantuan mereka. Dia menulis, “Saya rasa pelik sekali kerana saya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain; tetapi sekurang-kurangnya ia mengajar seseorang untuk bersyukur, dan saya berharap saya tidak akan melupakannya. Dalam kehidupan biasa, kita hampir tidak menyedari bahawa kita menerima lebih banyak daripada yang kita berikan, dan hanya dengan rasa bersyukur kehidupan kita boleh menjadi benar-benar bermakna dan ‘kaya’ jika hati kita selalu penuh kesyukuran.”

Dalam 2 Timotius, ketika menulis bahawa “seolah-olah [dia] seorang penjahat, sehingga dipenjarakan” (2:9), rasul Paulus tetap menyatakan rasa terima kasihnya yang mendalam kepada mereka yang mengasihi dan mengambil berat tentangnya (1:3-4, 16). Dia juga meminta Timotius membawa “kitab-kitab[nya], terutamanya gulungan kulit” (4:13).

Paulus memuliakan kasih kurnia terbesar yang telah diberikan oleh Tuhan: “Allah menyelamatkan kita dan memanggil kita untuk hidup suci … kerana tujuan dan kasih kurnia-Nya” (1:9). Kasih kurnia yang dinyatakan melalui Kristus, Dia yang telah “melenyapkan kematian” dan “memberikan penerangan tentang hidup kekal” (ayat 10) telah memberi kedamaian dan tujuan kepada Paulus, walaupun dalam penderitaannya.

Dietrich Bonhoeffer tidak pernah dibebaskan daripada penjara Nazi. Dia dihukum mati pada 9 April 1945. Dipercayai bahawa Paulus juga dihukum mati tidak lama selepas menulis surat 2 Timotius. Namun, kedua-dua saudara ini memberi kesaksian tentang kebaikan Tuhan yang sentiasa memberi lebih daripada yang dapat kita berikan.