Dalam sebuah filem tentang seorang wira yang bertindak sebagai vigilante (atau main hakim sendiri) untuk mencegah jenayah, watak utama itu seolah-olah sedang melawan peperangan yang mustahil untuk dimenangi. Bandar tempat tinggalnya dipenuhi oleh keganasan dan kecurian. Selain itu, dia juga mendapati bahawa pihak polis, sistem mahkamah, dan pegawai kerajaan semuanya suka menerima rasuah. Berkali-kali dia tergoda untuk berputus asa dan meninggalkan bandar itu. Tetapi akhirnya dia sedar bahawa apa yang paling diperlukan oleh orang ramai ialah harapan. Jadi dia memilih untuk terus tinggal di situ dan terus berjuang.

Dunia fiksyen itu tidak jauh bezanya daripada dunia kita. Kejahatan memang wujud, dan mereka yang berkuasa kadangkala mengecewakan kita. Tetapi syukurlah, Tuhan tidak pernah meninggalkan umat-Nya, walau betapa gelap sekalipun keadaan. Kita melihat hal ini dalam pujian Raja Daud selepas tabut perjanjian dipindahkan ke Yerusalem. Daud menggesa bangsanya untuk memuji Tuhan yang “mengingat perjanjian-Nya untuk selama-lamanya” (1 Tawarikh 16:15), dan dengan setia memimpin mereka ke tanah yang dijanjikan (ayat 18).

Walaupun terdapat ancaman daripada negara-negara musuh yang kuat di sekitar Israel, malah wujudnya rungutan serta penyembahan berhala dalam kalangan rakyatnya, Tuhan “tidak membiarkan orang menindas mereka” (ayat 21). Dia memimpin orang Israel melalui padang gurun, menunjukkan kuasa-Nya (ayat 11), keajaiban dan mukjizat (ayat 12), dan penghakiman yang adil (ayat 14). Oleh sebab kasih Tuhan yang besar (ayat 34), umat-Nya mempunyai harapan untuk masa depan. Begitu juga hari ini. Kita boleh percaya bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan kita; Dia lebih berkuasa daripada apa jua kejahatan yang kita hadapi.