Suami saya, Dan, sedang berjuang dengan penyakit yang serius sehingga badanya menjadi lemah. Namun apabila seorang ahli terapi fizikal memberikan senaman untuk membantu menguatkan tubuhnya semula, Dan kelihatan kurang berminat. Suatu hari, saya memutuskan untuk melakukan senaman itu bersama-sama dengannya. “Kita semakin kuat ni!” kata saya sambil ketawa dan mengangkat tangan. Tidak lama kemudian, dia juga mula ketawa semasa kami melakukan tiga set latihan penguatan itu bersama-sama. Dia sendiri terkejut kerana sesuatu yang pada mulanya terasa sukar akhirnya menjadi lebih ringan dan menyeronokkan apabila kami melakukannya bersama.
Yesus menunjukkan betapa besar dan mendalamnya kuasa bekerjasama dalam menghadapi tugas yang sukar. Ketika Dia “pergi ke kampung-kampung … dan mengajar”, Dia “memanggil murid-Nya yang dua belas itu, lalu mengutus mereka berdua-dua, serta memberi mereka kuasa atas roh-roh jahat” (Markus 6:6-7).
Jika mereka pergi seorang diri, mungkin dua belas orang murid itu dapat bergerak lebih cepat atau lebih jauh. Namun untuk melaksanakan tugas yang mencabar itu, mereka jauh lebih kuat apabila bekerja bersama. Mereka dapat saling menegur dan memperbaiki kesilapan masing-masing, mencegah sikap malas atau acuh tak acuh, serta saling menguatkan dan memberi semangat untuk terus melayani.
Kemudian, semasa mereka memberitakan “bahawa manusia harus bertaubat, … mereka menghalau banyak roh iblis, menyapukan minyak pada ramai orang sakit serta menyembuhkan mereka” (ayat 12-13). Bersama-sama, pelayanan mereka menjadi lebih kuat dan berkesan. Oleh sebab mereka diberikan kuasa Kristus melalui Roh Kudus, mereka menghalau roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dalam nama Yesus. Seperti yang saya dan suami saya pelajari, dua orang lebih baik daripada seorang, terutamanya dalam Kristus.
ILHAM
Ahli teologi John D. Barry menjelaskan bahawa Yesus mengutus pengikut-pengikut-Nya pergi berdua-duaan untuk memenuhi prinsip hukum dalam Ulangan 19:15, yang menyatakan, “Seorang saksi sahaja tidak cukup untuk mendakwa seseorang atas kesalahan atau dosa apa pun yang dilakukannya.” Namun, apakah “kesalahan” yang akan disaksikan oleh para pengikut-Nya? Yesus memberitahu mereka supaya bergantung pada layanan dan keramahan orang yang menerima mereka. Dia juga berkata: “Sebaliknya, jika penduduk sesuatu bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, pergilah dari situ dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka” (Markus 6:11). Maka, sesiapa yang menolak para pengikut dan berita yang disampaikan mereka sebenarnya sedang menolak Kristus sendiri (Lukas 10:16)—ini merupakan kesalahan yang jauh lebih besar daripada kesalahan-kesalahan yang disebut dalam hukum Musa. Sebagai utusan Kristus dan dengan sokongan antara satu sama lain, para pengikut mempunyai segala yang diperlukan untuk menyebarkan Berita Baik. Hari ini, kita juga boleh memohon kepada Tuhan agar Dia menunjukkan kepada kita siapa yang dapat menjadi rakan sekerja kita untuk bersama-sama melayani-Nya.
