Anda mungkin pernah melihat papan tanda seperti ini: Tiada Baju. Tiada Kasut. Tiada Layanan. Dengan kata lain: Baju dan Kasut Diwajibkan. Papan tanda seperti ini menjadi semakin biasa di negara-negara Barat sebagai reaksi terhadap gerakan kontra budaya pada tahun 1960-an. Pemilik perniagaan mahu menghalang golongan “hippie” yang berambut panjang dan sering berkaki ayam daripada memasuki premis mereka. Mereka (biasanya) sanggup melayani sesiapa sahaja, tetapi ada dua syarat yang ditetapkan: wajib memakai baju dan kasut.
Kata-kata dalam Mikha 6 sangat terkenal: “menegakkan keadilan, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu” (ayat 8). Banyak khutbah dan penulisan membincangkan ayat ini. Namun, kadangkala kita terlepas pandang satu perkataan penting yang muncul sebelumnya dan menentukan maksud keseluruhan ayat itu: “Apakah yang dituntut TUHAN daripadamu?” Jika anda sungguh-sungguh mahu hidup yang memuliakan Kristus, inilah yang paling penting. Walaupun perbuatan atau ibadah kita kelihatan hebat, itu bukan perkara utama yang dikehendaki Tuhan. Tanpa keadilan, kasih setia, dan kerendahan hati, semua itu tidak bererti di hadapan-Nya.
Ini tidak bermaksud bahawa Tuhan menerima kita berdasarkan apa yang kita lakukan. Dia menerima kita kerana kasih-Nya yang besar. Namun, cara kita hidup sangat penting jika kita sungguh-sungguh mahu menyenangkan hati-Nya. Kita melayani dan menghormati Tuhan apabila kita melakukan apa yang dituntut-Nya.
apakah yang terlintas di fikiran atau hati anda? Bagaimanakah anda membaca Mikha 6:8—
sekadar cadangan untuk hidup yang lebih baik, atau sebagai sesuatu yang kita patut amalkan?
apa yang Engkau kehendaki daripadaku.
Berikanlah aku keberanian untuk melakukannya.
ILHAM
Nama Mikha, yang bermaksud “Siapakah yang seperti Yahweh?”, ialah nama seorang nabi yang hidup sezaman dengan nabi Yesaya dan Hosea. Dia bernubuat kepada bangsa Israel dan Yehuda yang telah berdosa kerana mereka tidak setia kepada perjanjian Tuhan—mereka melakukan penyembahan berhala, rasuah, ketidakadilan, penindasan serta mengeksploitasi golongan miskin. Mikha menyampaikan berita tentang penghakiman dan hukuman Tuhan (1:6; 3:12), tetapi dia juga memberikan janji tentang penebusan dan pemulihan (2:12-13; 4:1-8; 5:2-15; 7:7-20). Untuk mendorong umat Tuhan supaya bertaubat dengan harapan mereka dapat mengelakkan penghakiman yang akan datang, Mikha bertanya kepada “Tuhan” bagi pihak umat-Nya tentang bagaimana mereka dapat melakukan apa yang benar dan menghormati-Nya (6:6-8). Nabi ini memberi amaran bahawa Tuhan tidak berkenan kepada kesalehan yang hanya bersifat luaran atau persembahan korban yang berlimpah, tetapi pada masa yang sama kita mengabaikan perkara-perkara yang lebih penting seperti keadilan, belas kasihan, kasih terhadap sesama, dan kerendahan hati (ayat 8). Nabi-nabi lain juga menyampaikan seruan yang sama: “Berhentilah berbuat jahat, belajarlah berbuat baik ... Belalah hak anak-anak yatim, perjuangkanlah hak-hak balu” (Yesaya 1:16-17; baca juga Zakharia 7:9-10). Kita menghormati Tuhan apabila kita: “menegakkan keadilan, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Allahmu” (Mikha 6:8).
