Josephine Cochrane (1839-1913) sudah jemu pinggannya selalu pecah akibat dicuci dengan tangan, lalu dia memutuskan untuk mencipta mesin basuh pinggan. Tidak lama selepas dia memulakan reka bentuk ciptaannya, suaminya meninggal dunia, dan meninggalkannya dengan beban hutang. Keadaan itu membuatkan dia lebih berazam untuk berjaya. Pada tahun 1886, dengan bantuan seorang mekanik, dia berjaya membina dan memperoleh paten mesin basuh pinggan manual pertama yang berjaya secara komersial. Pada mulanya, mesin itu tidak mendapat sambutan, tetapi hotel dan restoran mula membelinya. Hanya pada tahun 1950-an, barulah mesin basuh pinggan menjadi popular di rumah-rumah.

Kadang-kadang sesuatu rancangan memerlukan masa dan pergelutan sebelum ia menjadi kenyataan. Begitu juga dengan janji Tuhan. Abraham dan keturunannya dijanjikan akan menjadi sebuah bangsa yang besar, tetapi Abraham, Ishak dan Yakub tidak pernah melihat janji itu digenapi sepenuhnya dalam hidup mereka. Abraham berumur seratus tahun ketika Sara melahirkan anak lelaki mereka, Ishak (Kejadian 21). Ishak berumur enam puluh tahun ketika Ribka akhirnya melahirkan anak kembar (25:20-21, 26). Ketika Yakub menetap di Mesir semasa kebuluran, keluarganya hanya berjumlah tujuh puluh orang (46:27). Hanya pada zaman Musa (kira-kira 400 tahun kemudian), orang Israel menjadi bangsa yang besar.

Ketika Ishak menantikan seorang anak, dia melakukan apa yang kita semua dipanggil untuk lakukan: Dia “berdoa kepada TUHAN” (Kejadian 25:21). Bawalah harapan dan masalah anda kepada Tuhan. Dia akan memberikan penghiburan, pimpinan, kekuatan dan berkat semasa anda menunggu.