Ketika Alkitab yang disimpan oleh Matt Williams di bahagian belakang keretanya dicuri, dia takut bahawa dia tidak akan melihatnya lagi. Dia juga risau bahawa gambar-gambar berharga yang disimpannya di dalam sarung Alkitab itu akan hilang. Jadi, dia menaikkan doa singkat: “Ya Tuhan, aku sangat sedih. Alkitab itu ada banyak benda yang sangat bermakna bagiku, dan aku mohon untuk dapatkannya kembali. Tetapi bukan menurut kehendak saya, melainkan kehendak-Mu, seperti yang Engkau selalu katakan.” Hanya beberapa hari kemudian, Williams terkejut apabila mengetahui melalui media sosial bahawa Alkitabnya ditemui di dalam sebuah kereta curi. Alkitabnya diletakkan di sebelah satu lagi Alkitab milik pemilik asal kereta itu, di tempat duduk penumpang. Walaupun kelihatan mustahil untuk mendapatkan kembali barang kesayangannya, Tuhan menjawab doanya.
Dalam 2 Raja-Raja 6:1-7, kita membaca tentang nabi Elisa yang menghadapi situasi yang kelihatan mustahil. Dia dan sekumpulan nabi berada di Sungai Yordan untuk mendapatkan kayu bagi membina tempat pertemuan yang lebih besar. Ketika salah seorang nabi menebang pokok, tiba-tiba “jatuhlah mata kapaknya ke dalam air.” Oleh itu dia berseru kepada Elisa, “Aduh, tuanku! Itu barang pinjaman!” (ayat 5). Nabi yang cemas itu menunjukkan kepada nabi Elisa tempat kapak itu jatuh. “Lalu Elisa mengerat sepotong kayu dan mencampakkannya ke sana. Maka terapunglah mata kapak itu” (ayat 6). Dengan kuasa Tuhan yang luar biasa, nabi itu mendapat kembali kapak itu yang berharga.
Tiada hal atau kebimbangan yang terlalu kecil untuk dibawa kepada Tuhan dalam doa. Kita boleh berdoa dan memohon pertolongan Tuhan dalam apa-apa keadaan, dan Dia boleh menjawab doa kita dengan cara yang tidak dijangka.
doakan hari ini?
bawa dalam doa tentang apa sahaja.
ILHAM
Antara banyak mukjizat yang dilakukan oleh nabi Elisa, sebahagian besarnya berkaitan dengan perkara-perkara harian dan orang biasa, yang menunjukkan perlindungan dan penyediaan Tuhan. Mukjizat “mata kapak” (2 Raja-Raja 6:5) ialah salah satu contohnya. Mata kapak pada zaman itu merupakan alat yang mahal. Kehilangan alat tersebut pasti membawa beban kewangan yang besar kepada nabi itu, dan apabila Tuhan memulihkannya, Elisa terhindar daripada hutang yang berat. Kita juga melihat contoh lain tentang pemeliharaan Tuhan melalui mukjizat-mukjizat lain seperti : minyak zaitun yang berlimpah, yang membantu seorang janda menjelaskan hutangnya (2 Raja-raja 4:1-7); seorang anak lelaki yang dihidupkan semula (ayat 8-37); penyediaan makanan untuk nabi-nabi yang kelaparan (ayat 38); dan dua puluh buku roti yang mengenyangkan seratus orang (ayat 42-44).
Tuhan mengambil berat tentang perkara-perkara kecil dalam kehidupan seharian yang menjadi beban dan kekhuatiran kita. Yesus mengingatkan kita: “Lihatlah burung di udara … Bapamu yang di syurga memberinya makan” (Matius 6:26). Oleh itu, kita boleh menyerahkan segala kebimbangan dan keperluan harian kita kepada Tuhan, kerana kita tahu bahawa Dia benar-benar mengambil berat tentang kita
(1 Petrus 5:7).
