Apabila Denis memulakan syarikat gula-gulanya di sebuah kawasan yang sedang dilanda kemelesetan ekonomi, seorang bakal pelabur bertanya tentang kadar “churn” syarikatnya. Churn merujuk kepada bilangan pekerja yang berhenti kerana tidak suka kerja mereka. “Tak seorang pun,” jawab Denis. Pelabur itu terkejut. Namun, kadar “churn” yang rendah dalam syarikatnya menggambarkan tempat kerja yang ingin dibinanya―penuh kebaikan yang dia mengenali nama setiap orang, menyapa setiap pekerja setiap hari, dan memastikan semua orang berasa dihargai dan diperhatikan. Dia telah mewujudkan suasana yang “semua orang berasa dikenali, selamat dan dihargai.”
Komitmennya untuk mewujudkan tempat kerja yang penuh kebaikan itu sama dengan nasihat Petrus kepada orang yang percaya kepada Yesus, untuk hidup dalam keharmonian di rumah, gereja dan komuniti mereka. Dia menulis, “ “Bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik. Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan” (1 Petrus 3:8-9).
Nasihat ini disampaikan kepada anggota gereja abad pertama yang tersebar di seluruh Asia Kecil, tempat yang kerap berlakunya penganiayaan, penghinaan, dan layanan buruk terhadap orang yang percaya kepada Yesus. Namun Petrus memesan, “balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka ” dan “cari dan buru kedamaian” (ayat 9-11).
Dalam dunia ini, walaupun amukan siber, kemarahan di tempat kerja, buli jalan raya, pergolakan politik, dan pertelingkahan dalam keluarga dengan sedihnya kelihatan menjadi perkara biasa, kita boleh memohon kepada Tuhan agar Dia meredakan kemarahan yang ada dalam diri kita. Sebagai orang yang percaya kepada Kristus, Roh-Nya dapat memenuhi kita dengan kasih dan terang-Nya.
Bagaimanakah anda boleh menunjukkan kebaikan sebagai gantinya?
belas kasihan-Mu kepada orang lain,
dan redakan setiap kemarahan dalam diriku.
ILHAM
Seruan Petrus untuk menunjukkan kebaikan hati dalam 1 Petrus 3:8-9 adalah satu panggilan kepada kita supaya menjadi semakin serupa dengan Kristus. Apabila kita meneliti kehidupan Yesus dalam kitab-kitab Injil, kita mendapati bahawa Dia menunjukkan dengan sempurna sifat-sifat yang disebutkan dalam ayat ini. Lima ciri yang disenaraikan dalam ayat 8 sangat bermanfaat, baik secara individu mahupun secara bersama-sama: “Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan dan bersikap rendah hati” (Alkitab Berita Baik). Paulus juga menulis perkara yang hampir sama dalam Efesus 4:31-32, tetapi dengan susunan yang berbeza daripada Petrus. Dia terlebih dahulu menyebut perkara-perkara yang harus dibuang sebelum memberikan dorongan yang positif: “Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat. Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.” Kedua-dua ayat ini menggunakan perkataan berbelas kasihan, yang berasal daripada perkataan Yunani eusplagchnos, yang bermaksud “memiliki belas kasihan yang mendalam” dan “berhati lembut.” Perbuatan baik lahir daripada hati yang baik. Dalam hubungan kita dengan orang lain, Tuhan menolong kita bertindak dengan kebaikan hati dan bukan dengan kemarahan.
