Apabila Denis memulakan syarikat gula-gulanya di sebuah kawasan yang sedang dilanda kemelesetan ekonomi, seorang bakal pelabur bertanya tentang kadar “churn” syarikatnya. Churn merujuk kepada bilangan pekerja yang berhenti kerana tidak suka kerja mereka. “Tak seorang pun,” jawab Denis. Pelabur itu terkejut. Namun, kadar “churn” yang rendah dalam syarikatnya menggambarkan tempat kerja yang ingin dibinanya―penuh kebaikan yang dia mengenali nama setiap orang, menyapa setiap pekerja setiap hari, dan memastikan semua orang berasa dihargai dan diperhatikan. Dia telah mewujudkan suasana yang “semua orang berasa dikenali, selamat dan dihargai.”

Komitmennya untuk mewujudkan tempat kerja yang penuh kebaikan itu sama dengan nasihat Petrus kepada orang yang percaya kepada Yesus, untuk hidup dalam keharmonian di rumah, gereja dan komuniti mereka. Dia menulis, “ “Bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik. Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan” (1 Petrus 3:8-9).

Nasihat ini disampaikan kepada anggota gereja abad pertama yang tersebar di seluruh Asia Kecil, tempat yang kerap berlakunya penganiayaan, penghinaan, dan layanan buruk terhadap orang yang percaya kepada Yesus. Namun Petrus memesan, “balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka ” dan “cari dan buru kedamaian” (ayat 9-11).

Dalam dunia ini, walaupun amukan siber, kemarahan di tempat kerja, buli jalan raya, pergolakan politik, dan pertelingkahan dalam keluarga dengan sedihnya kelihatan menjadi perkara biasa, kita boleh memohon kepada Tuhan agar Dia meredakan kemarahan yang ada dalam diri kita. Sebagai orang yang percaya kepada Kristus, Roh-Nya dapat memenuhi kita dengan kasih dan terang-Nya.