Dalam sebuah seminar umum yang dianjurkan oleh syarikat yang baru saya sertai, semua orang diberi tugas masing-masing, seperti menyambut tetamu dan mengurus logistik. Oleh sebab ini merupakan acara yang besar dan semua orang sibuk, jadi tiada siapa bertindak balas apabila seorang peserta tertumpahkan minuman. Namun, salah seorang bos saya dengan segera berhenti daripada apa yang sedang dilakukannya, mengambil mop, lalu membantu membersihkannya.

Sebagai penganjur utama yang mengawasi acara tersebut, dia sebenarnya mempunyai kuasa untuk meminta orang lain melakukannya. Tetapi dia memilih untuk melakukan kerja yang mungkin dianggap rendah oleh sesetengah orang. Sikap itu membuatkan saya sangat menghormatinya.

Dalam Filipi 2:3-4, kerendahan hati digambarkan dengan cara yang sederhana dan praktikal: “Janganlah lakukan apa pun kerana … keangkuhan”, “menganggap yang lain lebih tinggi daripada [diri sendiri]” dan “jagalah … kepentingan orang lain”.

Dengan memenuhi satu keperluan kecil, bos saya tidak memikirkan kedudukannya. Kerendahan hati yang sejati kadangkala ditunjukkan melalui kata-kata dan tindakan yang mencerminkan hati yang rela memberi serta mengutamakan keperluan orang lain, bukannya menjaga imej atau status diri. Hati seperti ini mencerminkan hati Yesus. Walaupun mempunyai kedudukan ilahi, Yesus “mengetepikan martabat diri-Nya, mengambil bentuk seorang hamba” (ayat 7). Marilah kita memohon pertolongan Tuhan supaya kita mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri, agar kita semakin menyerupai Kristus, Tuhan kita yang melayani.