Pada tahun 1707, satu malapetaka besar telah menimpa kapal angkatan laut yang diketuai oleh Sir Cloudesley Shovell dari Great Britain. Pada masa itu, para tentera laut tidak dapat menghitung longitud dengan tepat dan sering kali tidak mengetahui lokasi sebenar mereka di laut. Keadaan ini membawa padah kepada angkatan laut Laksamana Shovell. Empat buah kapal melanggar batu karang lalu karam berhampiran Kepulauan Scilly. Lebih daripada 1,400 orang tentera laut terkorban, termasuk Laksamana Shovell sendiri.

Sistem navigasi yang lebih baik amat diperlukan. Kemudian, pada tahun 1761, seorang pembuat jam bernama John Harrison mencipta kronometer laut yang membantu menentukan longitud dengan tepat. Sejak itu, pelayaran di laut menjadi jauh lebih selamat dan mudah.

Masalah yang kita hadapi mungkin tidak sebesar tragedi itu, tetapi tetap nyata dan sukar. Untuk menghadapi masalah hidup, kita mempunyai Yesus, yang merupakan hikmat Tuhan bagi kita. Rasul Paulus menulis, “Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Kristus Yesus. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita” <br>(1 Korintus 1:30). Kita juga mempunyai janji bahawa Tuhan akan memberi hikmat kepada kita. Yakobus berkata, “Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka” (Yakobus 1:5).

Apakah masalah yang sedang anda hadapi? Mintalah hikmat daripada Bapa kita yang sentiasa bijaksana. Biarlah Firman Tuhan dan Roh-Nya membimbing setiap keputusan anda.