Pada tahun 1707, satu malapetaka besar telah menimpa kapal angkatan laut yang diketuai oleh Sir Cloudesley Shovell dari Great Britain. Pada masa itu, para tentera laut tidak dapat menghitung longitud dengan tepat dan sering kali tidak mengetahui lokasi sebenar mereka di laut. Keadaan ini membawa padah kepada angkatan laut Laksamana Shovell. Empat buah kapal melanggar batu karang lalu karam berhampiran Kepulauan Scilly. Lebih daripada 1,400 orang tentera laut terkorban, termasuk Laksamana Shovell sendiri.
Sistem navigasi yang lebih baik amat diperlukan. Kemudian, pada tahun 1761, seorang pembuat jam bernama John Harrison mencipta kronometer laut yang membantu menentukan longitud dengan tepat. Sejak itu, pelayaran di laut menjadi jauh lebih selamat dan mudah.
Masalah yang kita hadapi mungkin tidak sebesar tragedi itu, tetapi tetap nyata dan sukar. Untuk menghadapi masalah hidup, kita mempunyai Yesus, yang merupakan hikmat Tuhan bagi kita. Rasul Paulus menulis, “Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Kristus Yesus. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita” <br>(1 Korintus 1:30). Kita juga mempunyai janji bahawa Tuhan akan memberi hikmat kepada kita. Yakobus berkata, “Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka” (Yakobus 1:5).
Apakah masalah yang sedang anda hadapi? Mintalah hikmat daripada Bapa kita yang sentiasa bijaksana. Biarlah Firman Tuhan dan Roh-Nya membimbing setiap keputusan anda.
ILHAM
Beberapa orang yang bernama Yakobus disebutkan dalam kitab-kitab Injil. Salah seorang daripada mereka ialah saudara Yohanes yang telah dihukum mati oleh Raja Herodes (Kisah Para Rasul 12:2). Seorang lagi ialah Yakobus anak Alfeus, yang merupakan salah seorang daripada dua belas rasul (Matius 10:3; Markus 3:18; Lukas 6:15).
Namun, secara tradisinya, penulis kitab Yakobus dipercayai ialah Yakobus, saudara tiri Yesus (Matius 13:55). Pada awal kehidupannya, Yakobus tidak percaya kepada Kristus (Yohanes 7:5), tetapi dia menjadi seorang percaya selepas Yesus menampakkan diri kepadanya setelah kebangkitan-Nya (1 Korintus 15:7). Yakobus merupakan seorang tokoh utama dalam gereja pada peringkat awal (Kisah Para Rasul 1:14) dan memainkan peranan penting dalam membuat keputusan tentang bagaimana hukum Musa harus diterapkan kepada orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus (Kisah Para Rasul 15:13-21). Dalam suratnya, Yakobus menulis tentang hikmat Tuhan dan mendorong kita supaya mencari hikmat itu untuk kehidupan kita (Yakobus 1:5).
