Sepasang suami isteri sedang menikmati kehidupan selepas bersara. Mereka tinggal di rumah yang indah, mempunyai banyak masa lapang, dan menjalani kehidupan yang selesa sambil melayani secara santai di gereja mereka. Tetapi kemudian mereka mendengar satu khutbah yang mengandungi kata-kata Yesus yang sangat berkuasa: “Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup, dan sesiapa yang mengorbankan hidupnya kerana-Ku akan memperoleh hidup” (Matius 16:25). Ayat ini mengajar tentang menyerahkan hidup seseorang kepada Tuhan dan sanggup mengorbankan diri demi tujuan Kristus.
Kemudian, pasangan itu membaca sebuah artikel renungan rohani yang memuatkan ayat yang sama. Tidak lama selepas itu, mereka dicabar oleh pengarah sebuah rumah anak yatim di luar negara yang sudah lanjut usia untuk mengambil alih jawatannya. Menyedari itu ialah panggilan Tuhan, mereka menyahutnya dengan berani—mereka menjual rumah, “membatalkan persaraan”, dan berhijrah ke negara asing untuk mengurus rumah anak yatim tersebut. Mereka melepaskan satu bentuk keselesaan hidup demi meraih kehidupan yang lain; mengorbankan fasa persaraan mereka demi “menyangkal dirinya … dan mengikut [Kristus]” (ayat 24) serta menjaga anak-anak yang berharga.
Mungkinkah Tuhan, melalui cara-Nya yang tersendiri, sedang memanggil kita juga untuk melepaskan sesuatu yang kita sayangi atau hargai, supaya kita dapat mengecap sukacita apabila taat kepada-Nya serta meraih peluang baharu untuk melayani? Pengorbanan itu mungkin sekecil seperti mengorbankan masa rehat demi menolong seseorang, atau pengorbanan sebesar seperti mengetepikan rancangan hidup sendiri demi melakukan pelayanan atas nama Tuhan.
Satu perkara yang pasti: Apabila Tuhan memanggil kita untuk melepaskan sesuatu demi melayani-Nya, tindakan yang menyahut panggilan itu akan memimpin kita kepada kehidupan yang penuh kepuasan serta memuliakan nama-Nya (ayat 27).
Bagaimanakah anda akan berdoa dan mempersiapkan diri untuk melaksanakan kehendak-Nya?
kehendak-Mu dalam hidupku.
ILHAM
Apabila Yesus memanggil kita untuk menjalani kehidupan yang memikul salib (Matius 16:24-27), penting bagi kita untuk memahami konteks panggilan tersebut. Dalam ayat-ayat sebelumnya, Kristus bertanya kepada para pengikut-Nya tentang siapakah Dia menurut mereka (ayat 13-15). Petrus menjawab: “Engkau ialah Kristus, Anak Allah Yang Hidup” (ayat 16). Setelah memastikan bahawa para pengikut memahami identiti-Nya, Yesus menjelaskan misi-Nya kepada mereka buat pertama kali: “Dia harus pergi ke Yerusalem dan menanggung banyak penderitaan … akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga akan dibangkitkan semula” (ayat 21). Kemudian, selepas perselisihan singkat dengan Petrus, Kristus menyeru mereka untuk “memikul salib dan mengikut [Dia]” (ayat 24). Apabila Tuhan memanggil kita untuk memikul salib dan melayani-Nya, kita boleh mengingati pengorbanan Kristus bagi kita. Dia juga akan memberikan kekuatan kepada kita untuk menjawab panggilan-Nya dan memuliakan-Nya melalui kehidupan kita.
