Apabila Cheryl bangun pada suatu pagi, dia terkejut dan cemas apabila mendapati dapurnya telah dibanjiri air semalaman. Air bertakung di dalam kabinet, di sekeliling singki, malah melimpah sehingga ke belakang peti sejuk. Dia segera menghubungi seorang tukang paip, yang dengan cepat mengenal pasti punca masalah tersebut: sebuah penapis air di bawah singki telah rosak. Sepanjang hari itu, Cheryl menghabiskan masanya untuk mengeringkan air di dapur dan memulakan proses membaiki serta memulihkan kerosakan-kerosakan di rumahnya. Malangnya, ramai pengguna lain juga turut melaporkan kebocoran yang sama; penapis tersebut kelihatan mempunyai kecacatan dalam reka bentuknya.
Manusia tidak dapat mengetahui masa depan dengan sempurna, maka kita perlu meletakkan sedikit kepercayaan kepada syarikat yang menjual barangan keperluan kita dan orang lain di sekeliling kita. Ada kalanya kepercayaan itu ternyata mengecewakan, walaupun kita telah berusaha untuk membuat pilihan yang bijak. Namun, berbeza dengan musibah mengejut yang menimpa Cheryl, umat Tuhan sebenarnya telah diberi amaran terlebih dahulu: berharap kepada Mesir untuk perlindungan, bantuan, atau keselamatan hanya akan membawa kekecewaan seperti tertulis dalam firman Tuhan, “TUHAN telah menolak mereka yang amat kauharapkan, dan engkau tidak akan berhasil dengan mereka” (Yeremia 2:37).
Walaupun Tuhan telah memberi amaran, bangsa Yehuda tetap menjalin persekutuan dengan Mesir, akhirnya mereka benar-benar menjadi tawanan musuh-musuh mereka. Seperti umat Yehuda, kita juga kerap menaruh harapan yang terlalu tinggi pada sesuatu yang bagai “perigi bocor, yang tidak dapat memuat air” (ayat 13), lalu melupakan bahawa kepercayaan utama kita seharusnya hanya kepada Tuhan. Tuhan mengajak kita untuk mempercayai-Nya, kerana Dialah sumber air hidup yang sejati. Dia tidak akan pernah mengecewakan kita.
dan tetap menjadikan Engkau sandaran utama hidupku.
ILHAM
Melupakan dan meninggalkan Tuhan sering kali membawa rasa malu kepada mereka yang sebelumnya telah menerima kasih kurnia-Nya. Gambaran orang yang “keluar dengan tangan di atas kepala” (Yeremia 2:37) menunjukkan keadaan orang yang telah ditawan. Persekutuan atau pakatan yang kuat dengan bangsa-bangsa lain ternyata tidak mampu menjadi sumber pertolongan bagi mereka yang dahulu sepatutnya hanya bergantung pada Tuhan (ayat 2-3). Pada zaman Hosea, Tuhan juga memanggil umat-Nya untuk kembali kepada-Nya. Nabi Hosea berkata: “Bawalah kata-kata penyesalan ... kepada TUHAN. Ampunkanlah segala kesalahan kami dan terimalah apa yang baik … Asyur tidak dapat menyelamatkan kami. Kami tidak akan lagi berkata, ‘Ya Allah kami,’ kepada hasil buatan tangan kami, kerana dalam Engkaulah anak yatim mendapat rahmat” (Hosea 14:2-3). Daud juga menyerlahkan keazaman orang yang mencari keselamatan dan keamanan hanya dalam Tuhan: “Ada orang yang meletakkan kepercayaan pada pedati atau kuda, tetapi kita semata-mata mengingati nama TUHAN, Allah kita (Mazmur 20:7). Hari ini, Tuhan menolong kita untuk mengarahkan sepenuh hati kita supaya percaya hanya kepada-Nya.
