Sebuah poster yang bertajuk “Semangat Dan Kasih yang Berkobar-kobar kepada Tuhan Mampu Mengubah Dunia” mengiklankan sebuah konsert dan sesi khutbah. Secara peribadi, saya sentiasa memerlukan peringatan sedemikian agar kasih saya kepada Yesus terus bertumbuh. Namun, timbul satu persoalan di fikiran saya mengenai frasa “mengubah dunia” itu. Adakah hal sebesar ini sesuatu yang sebenarnya diharapkan Tuhan daripada kita?
Rasul Paulus pernah menyatakan bahawa “hidup yang diredai Allah” adalah apabila kita menjalani kehidupan yang suci dan saling mengasihi sesama (1 Tesalonika 4:1-10). Ia merupakan perkara yang asas dan biasa dalam kehidupan. Tambahnya lagi, “Berusahalah untuk hidup tenang, usah campuri hal orang dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana yang kami katakan kepadamu dahulu. Dengan demikian kamu akan dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus dan kamu tidak akan kekurangan apa-apa” (ayat 11-12).
Pesanan ini langsung tidak kedengaran seperti satu perintah untuk mengubah dunia, dan bagi saya, itu satu kelegaan! Hakikatnya, hanya Seorang yang benar-benar mampu mengubah dunia, iaitu Yesus Kristus. Oleh sebab Dia telah menyelesaikannya, kita tidak perlu memikul beban itu lagi. Segala tekanan kini hilang; kita boleh bersandar sepenuhnya pada-Nya. Dalam Yesus, kita diberi kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang telah dipercayakan-Nya kepada kita. Tugas itu mungkin sekadar rutin harian yang biasa, dan itu sama sekali tidak mengapa. Lakukanlah demi Dia, kerana setiap perkara itu amat berharga di mata-Nya (Kolose 3:17).
Sudah tentu kita mahu memanfaatkan kehidupan ini, tetapi kita tidak perlu bimbang sekiranya kita belum melakukan secukupnya. Oleh itu, pujilah Tuhan atas tugasan besar, dan pujilah Dia untuk perkara-perkara kecil juga. Lakukan apa sahaja yang Tuhan minta anda lakukan hari ini. Kemudian tidurlah dengan hati yang tenang.
pada hari yang biasa ini kepada-Mu.
ILHAM
Paulus mengajar kita “menegakkan cara hidup yang diredai Allah” (1 Tesalonika 4:1). Kita dipanggil untuk menjauhi percabulan dan menghormati Tuhan melalui tubuh kita (ayat 3-8), mengasihi satu sama lain (ayat 9-10), dan “hidup tenang” (ayat 11). Apabila kita semakin bertumbuh dalam kasih, bekerja dengan tangan kita sendiri, serta menjalani kehidupan yang sederhana, jujur dan bertanggungjawab, kita akan: “dihormati oleh mereka yang bukan pengikut Kristus” (1 Tesalonika 4:12). Ketika Roh Kudus menolong kita melakukan apa yang Tuhan telah panggil untuk kita lakukan—sama ada tugas yang besar atau perkara kecil—hidup kita menjadi kesaksian yang mencerminkan kekudusan, integriti dan kasih yang setia.
