Gebah dipenjarakan di sebuah penjara di Liberia tetapi hatinya berasa bebas. Ketika pertama kali dipenjarakan, dia berkata bahawa dia “sangat membenci kepercayaan Kristian.” Namun kemudian, buat pertama kalinya dia mendengar berita baik tentang Yesus dengan jelas. Kini dia berkata, “Bukan satu kesilapan saya datang ke sini . . . Tuhan mempunyai rancangan untuk saya.” Gebah menerima Kristus sebagai Juruselamatnya dan mengisytiharkan, “Ini bukan hukuman, tetapi Dia membawa saya ke sini supaya saya sedar dan insaf.” Hari ini, Gebah menghadiri persekutuan di penjara, tempat yang dia menyanyikan pujian kepada Tuhan bersama-sama para banduan yang lain.
Nabi Amos juga mampu memuji Tuhan walaupun bangsanya sedang menghadapi disiplin daripada Tuhan. Dia mengumumkan penghakiman Tuhan terhadap bangsa-bangsa di sekelilingnya, negaranya sendiri iaitu Yehuda, dan menyampaikan kata-kata yang paling keras terhadap bangsa Israel di utara (rujuk Amos 1–3). Amos menyatakan bahawa bangsa Israel tidak bertaubat daripada dosa mereka dan tidak “kembali kepada” Tuhan (4:6). Oleh sebab pemberontakan mereka, mereka akan dihukum oleh-Nya dan harus “Bersiaplah menghadapi hukuman yang akan [timpakan] kepada kamu!” (ayat 12 TMV). Walaupun begitu, nabi itu memuji Tuhan dengan menyatakan bahawa Dia “memberitahukan kepada manusia isi fikiran-Nya” dan Dia ialah “TUHAN, Allah alam semesta” (ayat 13).
Amos dapat mempercayai penghakiman Tuhan kerana kedaulatan-Nya dan Dia sentiasa bertindak dengan adil dan baik. Oleh itu, ketika Dia mendisiplinkan kita demi kebaikan kita, marilah kita tetap memuji-Nya dengan penuh syukur, kerana kita tahu bahawa Dia “mengajari orang yang dikasihi-Nya” (Ibrani 12:6).
Apakah pengajaran sukar yang Tuhan izinkan berlaku dalam hidup anda sebagai tanda kasih-Nya?
ILHAM
Dalam Amos 4, kita membaca tentang disiplin Tuhan terhadap bangsa Israel dari generasi ke generasi. Tindakan Tuhan bukanlah sesuatu yang dilakukan secara sewenang-wenangnya atau kerana keinginan untuk membalas dendam. Sepanjang Perjanjian Lama, kita diberitahu dan melihat banyak bukti bahawa Tuhan ialah “pengasih dan penyayang, panjang sabar dan berlimpah kasih setia” (Mazmur 145:8; baca juga Keluaran 34:6; Mazmur 86:15; Yoel 2:13). Tuhan mendisiplinkan umat-Nya kerana Dia mengasihi mereka, supaya mereka yang telah menyimpang daripada kehendak Tuhan dapat kembali kepada-Nya dengan pertaubatan (Amsal 3:11-12; Wahyu 3:19). Ketika nabi Amos bernubuat, bangsa Israel telah jauh menyimpang daripada kehendak Tuhan. Orang kaya hidup dalam dosa dan menindas orang miskin. Mereka tetap mempersembahkan korban kepada Tuhan, tetapi hati mereka jauh daripada-Nya. Seperti yang dinyatakan oleh nabi Samuel: “Sesungguhnya, mematuhi itu lebih baik daripada korban sembelihan dan memperhatikan itu lebih baik daripada lemak domba jantan” (1 Samuel 15:22). Tuhan tidak hanya menghendaki upacara keagamaan, Dia menghendaki kita mengasihi, mentaati, dan melayani-Nya dengan sepenuh hati. Kita boleh bersyukur atas disiplin Tuhan, kerana kita tahu bahawa teguran-Nya bertujuan untuk membentuk kita demi kebaikan kita.
