Pada suatu Hari Kesyukuran, Mark menerima jemputan makan malam daripada rakan-rakan dari seminari walaupun ketika itu dia berasa sangat tertekan dan terfikir hendak membunuh diri. Namun dia tetap pergi. Apabila melihat meja yang penuh dengan makanan, dia terpegun melihat kreativiti dalam penyediaannya. Dia melihat kaserol dan hidangan lain yang disajikan sebagai satu sinar harapan; melalui kasih dan usaha orang lain yang menyediakan makanan itu, saat itu dia sedar bahawa dunia ini sebenarnya berbeza daripada apa yang dibayangkannya. Dia berkata, “Apabila saya pulang ke rumah pada hari itu, segalanya telah berubah sama sekali.” Pendek kata, “Mereka telah menyelamatkan nyawa saya.”

Cara Tuhan menyelamatkan kita melalui kasih kurnia-Nya adalah sesuatu yang misteri dan menakjubkan, serta berbeza bagi setiap individu. Seperti yang ditulis oleh Rasul Paulus kepada Titus, Tuhan menyelamatkan kita kerana kebaikan dan kasih-Nya, “bukan kerana perbuatan benar yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya” (Titus 3:5). Dia mengurniakan Roh Kudus “kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita. Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah diperbenar untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan” (ayat 6-7).

Para pelajar seminari tersebut telah bertindak sebagai saluran kasih kurnia Tuhan kepada Mark pada hari itu. Kita tidak pernah tahu bagaimana Tuhan akan menyentuh hati orang lain melalui kita, sama ada melalui jemputan makan bersama, surat yang memberikan dorongan seperti yang ditulis oleh Paulus, ataupun melalui doa. Tuhan dengan murah hati mencurahkan kasih-Nya kepada kita dengan pelbagai cara.