Charles Smedley tidak menyukai orang Kristian. Dia tidak suka apabila mereka datang ke rumahnya untuk memberi kesaksian. Apabila seorang guru Sekolah Minggu, Ruth Tulley, melawat keluarganya dan menjemput mereka ke gereja, Smedley mencemuh: “Saya tidak ada pun sut untuk dipakai.” Ruth membalas, “Adakah kamu akan datang ke gereja jika kamu mempunyai sut?” Smedley menjawab, “Sudah tentu” kerana menganggapnya sekadar gurauan. “Kalau begitu,” balas Ruth, “saya akan berdoa agar Tuhan memberikan sepasang sut kepada kamu.” Smedley hanya tertawa.
Keesokan harinya, Charles Smedley menerima sekeping cek yang tidak dijangka melalui pos. Isterinya segera mengingatkannya tentang janji yang telah dibuatnya sebelum ini. Akhirnya, Smedley membeli sepasang sut.
Apabila membaca perumpamaan tentang tanah, ia amat berguna untuk kita membayangkan benih tersebut sebagai perkataan yang kita ucapkan kepada orang lain: “Seorang penyemai pergi menabur [benih perkataan]” (Matius 13:3). Ruth Tulley, ketika melawat Charles Smedley yang jelas tidak senang dengan kehadirannya, mungkin merasakan bahawa “[benih perkataannya] jatuh di tengah-tengah semak duri,” (ayat 7). Namun, Ruth tetap percaya bahawa Tuhan dengan cara-Nya yang tersendiri akan menggunakan benih perkataan tersebut. Apa yang mampu dilakukan oleh Ruth pada waktu itu hanyalah berdoa untuk memohon sepasang sut.
Charles Smedley menepati janjinya kepada Ruth Tulley. Dia mengenakan sut baharunya lalu pergi ke gereja. Di situ, dia menerima Yesus sebagai Penyelamatnya, dan tidak lama kemudian seluruh keluarganya diubah oleh Injil. Anak perempuannya, Marti (Hefley), kemudiannya menjadi seorang penulis Kristian yang terkenal. Kita tidak pernah tahu di tanah manakah benih jemputan kita akan tersemai, namun dengan kasih kurnia Tuhan, kadangkala benih yang kecil itu mampu tumbuh menjadi sebuah taman yang indah.
ILHAM
Dalam perumpamaan tentang penyemai (Matius 13:1-9), Yesus menceritakan tentang penyemaian benih mesej Injil dan respons orang yang mendengarnya. Apabila kita melangkah dalam iman untuk memberitakan Kristus kepada orang lain, kita sebenarnya sedang menanam benih dalam hati mereka dan percaya bahawa Tuhan akan melakukan pekerjaan seterusnya. Kita tidak perlu takut, kerana Roh Kudus akan memberikan keberanian dan perkataan yang perlu kita sampaikan (Lukas 12:11-12; lihat juga Yohanes 14:26; 2 Timotius 3:16-17). Tuhan telah memberikan keberanian kepada rasul Petrus dan Yohanes ketika mereka berdiri di hadapan Mahkamah Agama (Sanhedrin), iaitu badan pemerintahan agama orang Yahudi, dan mereka berkata dengan berani tentang Kristus (Kisah Para Rasul 4:1-12).Para pemimpin berasa hairan kerana mereka menganggap para rasul sebagai “orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih”(Kisah Para Rasul 4:13). Sebagaimana Tuhan memberikan keberanian kepada Petrus dan Yohanes, Dia juga akan melakukan perkara yang sama untuk kita.
