Satu kajian pada tahun 2015 mendapati bahawa semakin sedikit rakyat Amerika mengenali nama jiran mereka atau meluangkan masa bersama mereka berbanding pada masa lalu. Hanya sekitar 20 peratus orang berkata bahawa mereka kerap berhubung dengan jiran mereka, satu kemerosotan ketara berbanding empat dekad sebelumnya apabila sepertiga daripada mereka bergaul dengan jiran sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Seorang pakar menyifatkan perubahan ini sebagai kemerosotan ikatan kejiranan yang suatu ketika dahulu amat penting. Katanya pada masa lalu, “Orang ramai lebih cenderung mendapatkan rasa selamat yang wujud dalam komuniti kejiranan.”
Alkitab menggalakkan orang ramai membina hubungan yang baik dengan jiran kerana hubungan tersebut membawa manfaat, kebijaksanaan dalam kehidupan, dan kegembiraan. Amsal 27:9-10 berkata, “Minyak dan wangi-wangian menyenangkan hati, begitu jugalah keikhlasan nasihat seseorang manis bagi sahabatnya … tetangga yang dekat lebih baik daripada saudara yang jauh.” Walaupun kaum keluarga dapat menolong kita pada waktu susah, seorang jiran mungkin lebih membantu apabila saudara-mara tinggal jauh. Walaupun hubungan dari jauh tetap bernilai, sahabat yang dekat, jiran yang dipercayai (ayat 6), boleh segera tampil memberi nasihat, penghiburan, dan sokongan pada waktu memerlukan. Orang yang percaya kepada Yesus juga dapat memberi sokongan rohani yang istimewa dan nasihat yang menajamkan (ayat 17), yang mengarahkan kita kepada Kristus dan kasih-Nya.
Dalam dunia yang semakin terasing akibat batasan digital dan jadual kehidupan yang sibuk, dengan pertolongan Tuhan, marilah kita menghidupkan semula sesuatu yang telah dirancang oleh Tuhan untuk membawa kebaikan dan memperkaya kehidupan kita, iaitu dalam kalangan komuniti setempat yang penuh kasih.
ILHAM
Sahabat dan jiran yang tinggal berdekatan dapat menolong kita apabila kita memerlukan nasihat, penghiburan dan sokongan. Tunjukkanlah kasih Tuhan dengan mengambil berat tentang jiran kita.
Salomo berkata, “Orang benar menjadi panduan bagi jirannya” (Amsal 12:26). Dia mengatakan pentingnya memiliki sahabat yang boleh diharap dan dipercayai (lihat 13:20; 16:28; 17:17; 18:24; 22:24-25). Dalam Amsal 27, Salomo menjelaskan bahawa sahabat sejati ialah seseorang yang cukup mengasihi kita sehingga sanggup bersemuka dan menegur kesalahan kita. Sahabat sejati tidak takut memberikan “teguran yang nyata” (ayat 5) demi menghindarkan kita daripada bahaya. Sahabat sejati juga sentiasa bersedia memberikan penghiburan dan sokongan ketika kita memerlukannya. Nasihat mereka yang “ikhlas” dan tulus menyenangkan hati, seperti keharuman “minyak dan wangi-wangian” (ayat 9). Sebagaimana jiran dan sahabat kita mengambil berat tentang kita, kita juga harus mengingati perintah Yesus, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri” (Markus 12:31).
