Dalam novel A Gentleman in Moscow, bekas bangsawan Alexander Rostov dijatuhkan hukuman tahanan rumah oleh rejim Soviet Lenin. Ketika dia terkurung di loteng sebuah hotel, dia berkawan dengan staf hotel tetapi diawasi ketat oleh pengurus hotel yang cepat melaporkan apa-apa yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Pengurus itu sangat teliti hingga kabinet di pejabatnya penuh dengan fail operasi hotel. Namun, sebaik sahaja Alexander berjaya menyusup masuk, dia menemukan banyak juga profil peribadi individu lain. Setiap dosa dan kelemahan tetamu serta kakitangan direkodkan sebagai ugutan terhadap mereka, termasuk fail Alexander yang paling tebal antara fail-fail lain.

Walaupun Tuhan mengetahui hidup kita secara terperinci, termasuk setiap dosa yang cuba kita sembunyikan (Yeremia 16:17), kita bersyukur kerana Dia tidak seperti pengurus itu. Pemazmur berkata, “Jika Engkau, TUHAN, mengingati dosa, Ya Tuhan, siapa yang dapat bertahan?” (Mazmur 130:3). Tiada seorang pun yang boleh. Sebaliknya, Tuhan kita mengampuni (ayat 4), Dia menghapuskan rekod dosa kita apabila kita mengakuinya (Yesaya 43:25). Lebih-lebih lagi, hal ini menjadi nyata melalui kedatangan Yesus, yang telah menghapuskan dosa-dosa kita untuk selama-lamanya (Yohanes 1:29)!

Kemudian dalam novel itu, Alexander Rostov dan pengurus menuju ke ruang bawah tanah hotel dan membuang semua fail itu ke dalam relau. Demikian jugalah apabila kita meminta pengampunan daripada Tuhan. Yesus mengambil fail kita dan mencampakkannya ke dalam api, memusnahkan rekod kesalahan kita untuk selama-lamanya.