Micherre Fox mengembara dari New York ke Taman Negeri Kawah Berlian di Arkansas dengan misi mencari berlian untuk cincin pertunangannya. Selama tiga minggu dia harus menghadapi serangga, jari yang sakit, kasut yang koyak, dan kuku yang rosak, bahkan terus menggali dengan tangan apabila penyodoknya dicuri. Tetapi pada hari terakhirnya di taman itu, dia melihat sesuatu yang berkilau di tanah. Dia sangat gembira apabila mengetahui batu berkilauan itu ialah berlian putih seberat 2.3 karat, berlian ketiga terbesar yang ditemui di taman negeri setakat pada tahun itu.
Alkitab memberitahu kita tentang satu lagi harta yang patut dikejar, iaitu iman, yang “lebih bernilai daripada emas” (1 Petrus 1:7). Iman kita sangat berharga kepada Tuhan. Dia suka apabila anak-anak-Nya mempercayai Dia dengan sepenuh hati.
Apabila rasul Petrus mahu menggalakkan gereja pada zaman awal yang sedang mengalami penganiayaan kerana iman mereka kepada Yesus, dia mengingatkan mereka bahawa penderitaan yang dialami mereka mempunyai tujuan yang lebih besar. “Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Yesus Kristus datang kembali.” (1 Petrus 1:7).
Mungkin kelihatan mustahil untuk mempercayai Tuhan semasa kita mengalami ujian hidup. Tetapi apabila kita mempercayai sifat-Nya dan janji-Nya dalam Alkitab, walaupun dalam saat-saat yang mencabar, iman kita dikuatkan. Itu sangat berharga kepada Tuhan.
ILHAM
Apabila kita mempercayai sifat dan janji-janji Tuhan, bahkan ketika menghadapi waktu yang mencabar, iman kita akan dikuatkan.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, iman kita berakar umbi pada keyakinan akan kebangkitan Kristus daripada kematian. Petrus berkata, “Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian” (1 Petrus 1:3). Jika Kristus telah mengalahkan kematian, neraka dan kubur, kita boleh yakin bahawa tiada “apa pun … dalam seluruh ciptaan [yang] akan dapat memisahkan kita daripada kasih Allah yang di dalam Kristus Yesus, Tuhan kita” (Roma 8:38-39). Harapan kita terletak pada Yesus, yang lebih berkuasa daripada apa jua cabaran. Hari ini, ketika kita menghadapi masa-masa sukar, kita akan dikuatkan oleh Tuhan apabila kita percaya kepada-Nya.
