Suami saya, Evan dibesarkan di rumah kecil berhampiran dengan universiti, tempat yang ayahnya mengajar. Sejak kecil lagi dia belajar melalui teladan ibu bapanya untuk menyambut dan melayan pelajar antarabangsa sebagai tetamu di rumah semasa musim cuti. Mereka akan bermain permainan, berkongsi cerita, dan makan bersama, sambil ibu bapanya turut berkongsi iman mereka kepada Kristus. Apabila makanan dihidangkan, ibu Evan akan berbisik kod “TMD” kepada tiga anak lelaki remajanya, yang bermaksud “tetamu makan dahulu”. Untuk memastikan tetamu mereka mendapat makanan yang mencukupi, ibu Evan mendidik anak-anaknya mengutamakan keperluan tetamu daripada keperluan mereka sendiri. Sejujurnya, Evan bukanlah sentiasa rela mengikut prinsip TMD itu.

Dalam Filipi 2:3-4, Paulus menasihati, “ Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain.” Dia seterusnya menerangkan bagaimana Yesus mengetepikan martabat diri-Nya dan mengambil “bentuk seorang hamba” (ayat 7). Seperti Yesus melepaskan hak-hak-Nya demi menyelamatkan kita, kita juga harus melepaskan hak-hak kita demi memenuhi keperluan orang lain walaupun ada keadaan bahawa menjaga diri sendiri juga penting dan wajar dilakukan. Tetapi mempunyai “pemikiran yang sama dengan Kristus Yesus” (ayat 5) bermakna kita harus mencontohi kasih Tuhan di hadapan orang yang belum mengenal-Nya.

Hari ini, Evan mengingati keramahan ibu bapanya dan bersyukur atas teladan mereka. Apabila kami melayani tetamu di rumah kami, terkadang suami tersayang saya akan berbisik “TMD, Elisa” di telinga saya, dan saya pun tersenyum.