“In the Bleak Midwinter” ialah lagu Krismas yang ditulis pada tahun 1872 oleh Christina Rosseti, salah seorang penyair terkemuka di England. Liriknya menggambarkan suasana kelahiran Yesus dalam keadaan yang sangat sejuk: “Tanah mengeras seperti besi, air membeku seperti batu.” Dengan penuh puitis, dia menggambarkan betapa agungnya bayi Yesus, bahkan “langit tidak dapat menampung-Nya.” Dengan penuh kelembutan, dia juga menggambarkan Maria mencium anaknya yang baru lahir.
Kitab Lukas mencatatkan kisah kelahiran Yesus, yang menonjolkan keagungan sekali gus kesederhanaan peristiwa itu. Kita begitu biasa dengan cerita itu sehingga kita mungkin terlepas pandang mengenai perbezaan antara hal yang biasa dengan yang luar biasa: gembala-gembala diliputi rasa kagum, takut, dan terkejut apabila melihat malaikat Tuhan. “Kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan” (Lukas 2:9). Perkara yang luar biasa sedang berlaku, namun Lukas membawa kita kembali ke babak sederhana yang kita kenali sebagai kelahiran Yesus: Para gembala “menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung” (ayat 16).
Lirik Rossetti juga menggambarkan perasaan Lukas tentang perkara luar biasa yang memasuki kehidupan manusia yang biasa. Kedinginan dunia yang digambarkan dalam lagu itu mirip dengan kehidupan yang kadangkala kita alami. Walaupun Yesus berada di dalam palung sebagai seorang bayi yang kelihatan lemah, Dia juga “Tuhan Yang Maha Kuasa,” yang mampu mengubah hidup kita. Dalam bait terakhir lagu itu, Rossetti mengemukakan soalan ini, “Apakah yang boleh kuserahkan kepada-Nya?” Inilah soalan yang mesti kita jawab sendiri. Mungkin kita boleh menyanyikan dengan jujur bait terakhir lagu karol itu seperti begini, “Aku menyerahkan … hatiku.”
Apakah maksudnya untuk menyerahkan hati anda kepada Yesus?
Tolonglah aku menyerahkan hidupku kepada-Mu.
ILHAM
Mintalah Tuhan untuk menolong kita mengabdikan seluruh hidup kepada-Nya.
Para gembala yang menerima berita daripada malaikat pada malam Yesus dilahirkan (Lukas 2:8-11) adalah orang biasa yang menjalankan tugas penting—memelihara domba yang akan dipersembahkan sebagai korban di rumah Tuhan di Yerusalem yang berhampiran. Sungguh sesuai bahawa para gembala yang rendah hati ini, yang terasing daripada masyarakat kerana sifat pekerjaan mereka, menjadi orang pertama yang menyambut kedatangan Kristus ke dunia. Bayangkan—para gembala yang dipandang rendah oleh masyarakat menyambut “Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia!” (Yohanes 1:29). Paulus mengatakan bahawa “ibadat yang wajar” kita ialah mempersembahkan hidup “sebagai korban yang hidup” (Roma 12:1). Yesus datang untuk memberikan segala-galanya kepada kita. Sebagai balasan, kita boleh memohon pertolongan Tuhan agar kita memberikan segalanya kepada-Nya.
