Dalam sebuah buku puisi yang bertajuk Kneeling in Betlehem, karya Ann Weems, penyair ini mengajak kita memikirkan bahawa setiap hati manusia mempunyai “Betlehem” sendiri secara kiasan. Betlehem ialah sebuah kota kecil purba di Israel, kampung halaman Yusuf. Dia dan isterinya, Maria yang sedang mengandung, pulang untuk mendaftarkan diri dalam banci yang diperintahkan oleh kerajaan Rom. Maria melahirkan Yesus, dan “membaringkannya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan” (Lukas 2:7) . Puisi Weems meneroka idea bahawa, sama seperti dahulu tiada tempat bagi Yesus di rumah tumpangan di Betlehem, setiap orang hari ini perlu menjawab satu soalan penting: “Adakah terdapat ruang di hati saya untuk Yesus?”

Paulus juga menggalakkan para pembacanya membuka hati mereka dan membenarkan Yesus mendiami hati mereka (Efesus 3:17). Pada zaman Alkitab, hati dianggap sebagai pusat kehidupan seseorang, tempat bersemayamnya fikiran, kehendak, dan emosi mereka. Orang yang membuka hati mereka kepada Yesus bermakna mengizinkan-Nya untuk berada “di rumah” dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Apabila Maria, Yusuf, para malaikat, dan gembala menyambut bayi Yesus, mereka mula memahami sesuatu tentang kasih Tuhan terhadap mereka. Begitu juga, Paulus menulis bahawa apabila kita menyambut Kristus ke dalam hidup kita, kita akan mengalami berkat-berkat susulan kehadiran-Nya, termasuk keupayaan untuk mula memahami kasih-Nya yang besar terhadap kita (ayat 17-19).