Kemoterapi untuk kanser payudara telah menyebabkan rambut Jan gugur. Walaupun dia sakit tenat, dia kerap menghadiri pertemuan doa di gereja kami. Jan telah bercakap dengan kumpulan kami selepas kami berdoa untuknya pada suatu malam. Walaupun sudah bertahun-tahun yang lalu, saya tidak akan pernah melupakan kata-katanya atau keyakinan di sebaliknya: “Aku tak tahu apa yang akan berlaku, tapi aku tahu semuanya akan baik-baik saja. Kerana Yesus ada di sini bersama kita malam ini.”
Kata-kata Jan mengingatkan kita kepada salah satu nama Yesus, yang digambarkan oleh Matius ketika dia menjelaskan nubuat Yesaya tentang kelahiran Yesus: “Segala ini berlaku supaya terlaksanalah firman Tuhan melalui nabi-Nya: ‘ Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel” yang bererti, Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani” (Matius 1:22-23).
Tiada penghiburan yang lebih besar daripada janji Yesus bahawa Dia sentiasa dekat dengan kita. Apabila kita menyedari bahawa Yesus bersama kita, kebimbangan dan ketakutan semakin lenyap, lalu digantikan dengan damai sejahtera yang datang daripada-Nya. Walaupun keadaan kita tidak berubah, mengetahui bahawa Yesus bersama kita melalui Roh-Nya akan mengubah kita dan memberi kita kekuatan baharu untuk menghadapi keadaan tersebut. Oleh sebab Yesus berjanji, “Aku akan sentiasa bersamamu” (28:20), kita boleh mempercayai kesetiaan-Nya dalam setiap keadaan.
Yesus akan setia kepada nama-Nya Immanuel supaya kita sentiasa bersama-Nya—hari ini, esok, dan selama-lamanya.
ILHAM
Mengetahui bahawa Yesus sentiasa menyertai kita memberikan penghiburan dan kekuatan. Tuhan akan menolong kita untuk sentiasa mengingati kehadiran-Nya.
Ketika Matius memetik Yesaya 7:14 pada permulaan kitabnya, dia menegaskan identiti ilahi Yesus: “ ‘Seorang anak dara akan mengandung, dan melahirkan seorang anak lelaki, dan mereka akan menamai Dia Immanuel’ yang bererti Allah menyertai kita dalam bahasa Ibrani’” (Matius 1:23). Ungkapan “Allah menyertai kita” menggemakan kata-kata pemazmur dalam Mazmur 46: “TUHAN Yang Maha Kuasa menyertai kita; Allah Yakub tempat kita berlindung” (ayat 7, 11). Mereka yang ingin mengetahui bagaimana rasanya Tuhan yang di syurga tinggal bersama umat manusia tidak perlu mencari lebih jauh daripada Kristus. Hari ini, mengetahui bahawa Dia sentiasa menyertai kita memberikan penghiburan dan kekuatan.
