Salah satu tradisi Tahun Baru keluarga kami ialah setiap ahli keluarga akan memilih satu perkataan yang mempunyai makna rohani untuk dijadikan fokus pada setiap bulan Januari. Tahun ini, saya tidak pasti apa yang perlu dipilih. Kemudian isteri saya mencadangkan perkataan sauh. Perkataan itu menyentuh hati saya, mungkin kerana kadangkala saya rasa seperti berumbang-ambing dalam badai hidup ini.

Sudah tentunya, sauh berfungsi untuk menahan sebuah bot supaya tetap berada di satu tempat. Itu memang jelas. Apa yang kurang disedari ialah apa yang berlaku apabila kita tidak mempunyai sauh. Jika anda pernah memancing di bot kecil, anda tahu apa yang akan berlaku apabila enjin dimatikan: Bot anda akan hanyut. Walaupun pada hari yang tenang, kita akan terkejut bahawa bot boleh hanyut jauh secara perlahan-lahan tanpa disedari.

Sauh menghalang bot daripada hanyut dengan mencengkam dasar laut yang kukuh di bawah ombak. Ibrani 6:19-20 memberitahu kita bahawa Yesus bertindak sebagai sauh kita, iaitu jaminan yang menghalang kita daripada hanyut ketika dunia dengan segala cabaran dan godaannya melanda kita: “Kita mempunyai harapan ini sebagai sauh bagi jiwa, tetap dan teguh” (Ibrani 6:19). Apabila kita memahami ayat ini dengan lebih mendalam, kita melihat bahawa apa yang menjadi sauh kita adalah sifat Tuhan yang tidak berubah dan janji-Nya untuk menyediakan segala yang kita perlukan melalui Kristus, yang juga merupakan harapan dan perlindungan kita (ayat 17-18).

Saya suka idea untuk menjadi seperti sauh bagi keluarga saya. Tetapi jika saya bergantung pada diri sendiri, saya mudah hanyut. Syukurlah, saya boleh berlabuh kepada Dia yang menjadikan saya teguh dalam iman melalui pengorbanann-Nya. Di dunia yang penuh dengan ombak dan badai kehidupan, Yesus membuat saya tetap teguh. dan saya yakin bahawa Dia akan menolong saya mengharungi setiap badai.