Pada hari-hari terakhir-Nya di bumi, Yesus bergelut dalam kegelisahan yang mendalam di Taman Getsemani. Ketika Dia memandang ke arah barat dari Taman Getsemani, Dia dapat melihat segala keindahan Rumah Tuhan. Di sana, ribuan haiwan dikorbankan setiap tahun dan darah haiwan tersebut mencemarkan mazbah tersebut. Namun darah korban tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan dosa (LIHAT IBRANI 10:3-4). Pemandangan ini mengingatkan Yesus tentang apa yang akan berlaku dan bagaimana darah-Nya bakal dicurahkan pada kayu salib ketika Dia dengan rela memberikan diri-Nya sebagai korban untuk menebus manusia daripada dosa.
Ketika Yesus bergelut dengan cawan penderitaan yang harus diminum-Nya, Dia meminta tiga orang pengikut-Nya iaitu Petrus, Yakobus, dan Yohanes berjaga dan berdoa (MARKUS 14:32–33). Namun, para pengikut-Nya gagal untuk berjaga bersama-sama Yesus ketika Dia memerlukan mereka. Walaupun sudah tiga kali Yesus memohon mereka “berjagalah”, mereka tetap tertidur.
Pada saat genting, para pengikut Yesus menunjukkan bahawa mereka tidak dapat memahami sepenuhnya erti pengorbanan kerana mengikut Yesus. Sepanjang masa mereka menjadi pengikut Yesus, mereka berkelahi tentang siapa yang terhebat serta berebut status dan pangkat kuasa (LIHAT MARKUS 9:33–34, 10:35–40). Sehingga ke saat yang terakhir mereka bersama Yesus, mereka masih tidak memahami erti menderita bersama Yesus dan makna memikul salib mereka untuk mengikut Dia, walaupun mereka harus mati kerana iman mereka.
Sama halnya, Yesus memanggil semua orang mengikut Dia dan setiap kita mempunyai cawan tersendiri yang harus diminum. Kadangkala, beban yang kita pikul mungkin menjadi terlalu berat. Mungkin kita juga tergoda untuk membuang cawan itu. Namun semoga kita dikuatkan ketika kita merenungkan doa Yesus di Taman Getsemani: “Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja” (MARKUS 14:36). Semoga kita dengan rela berserah kepada kehendak Tuhan dan tetap beriman kepada-Nya.
Renungan
- Fikirkan kegelisahan Tuhan ketika Dia berdoa di Taman Getsemani. Sepanjang hidup anda, pernahkah anda mengangkat beban yang berat ketika mengikut Tuhan? Bagaimanakah anda mendapat kekuatan daripada Dia agar terus tabah mengikut-Nya?
- Adakah cawan yang “sukar” untuk anda minum tetapi Tuhan menginginkan anda meminumnya? Apakah respons anda kepada-Nya? Apakah yang dapat memampukan anda untuk berdoa, “janganlah turut kehendakku, melainkan kehendak-Mu sahaja”?
Doa
Bapa yang pengasih, kami ingat akan Tuhan Yesus, yang gelisah tetapi tekun berdoa di Taman Getsemani untuk mentaati kehendak-Mu. Kuatkan kami yang lemah dan berikan kami keinginan yang lebih mendalam untuk menyenangkan hati-Mu, supaya kami, gereja-Mu akan terus mentaati kehendak-Mu. Semoga kami memancarkan terang-Mu di tengah-tengah kegelapan
dunia ini, sehingga semua orang datang untuk mengenal Yesus, kami berdoa dalam nama Yesus, amin.