Paska adalah perayaan besar yang disambut oleh bangsa Yahudi bagi memperingati pembebasan umat Tuhan daripada perhambaan di Mesir (KELUARAN 12–13). Pada zaman Perjanjian Baru, Paska biasanya dirayakan dengan amalan meminum empat cawan wain antara setiap jamuan makan, bagi memperingati janji Tuhan dalam kitab Keluaran 6:5-7.
Cawan pertama memperingatkan janji Tuhan yang membebaskan mereka: “Akulah Tuhan. Aku akan membebaskan kamu daripada beban kerahan kerja paksa oleh warga Mesir”(AYAT 6, AVB). Cawan yang kedua mengingatkan mereka tentang bagaimana Tuhan melepaskan mereka daripada ikatan perhambaan: “Aku akan melepaskan kamu daripada perhambaan mereka” (AYAT 6, AVB). Cawan yang ketiga mengingatkan mereka akan penebusan Tuhan: “dan menebus kamu dengan lengan yang terhulur dan hukuman yang besar” (AYAT 6, AVB). Cawan terakhir mengingatkan bahawa Tuhan mengambil mereka menjadi milik-Nya: “Aku akan mengangkat kamu menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allahmu” (AYAT 7, AVB).
Markus 14:22 menerangkan Tuhan mengambil roti, memecahkannya dan membahagikan roti itu kepada para pengikut-Nya. Jika mengikut amalan kuno, hal ini dilakukan antara waktu meminum cawan yang kedua dan cawan ketiga. Mengenai perihal memecahkan roti, Yesus melambangkan roti tersebut sebagai tubuh-Nya (AYAT 22), dan cawan berisi wain sebagai darah-Nya yang dicurahkan bagi banyak orang (AYAT 24).
Satu hal penting yang perlu diketahui, hanya selepas minum cawan yang ketiga, Yesus memberitahu para pengikut-Nya bahawa Dia tidak akan minum wain ini lagi sehingga Dunia Baru Bapa-Nya datang (AYAT 25). Setelah itu, mereka menyanyikan nyanyian pujian dan pergi ke Bukit Zaitun (AYAT 26). Dengan sengaja Yesus mengakhiri perjamuan tersebut sebelum minum cawan yang keempat. Mengapa Yesus berbuat demikian?
Dengan menyatakan bahawa Dia hanya akan minum cawan wain yang keempat apabila Dia datang kembali, Yesus juga menunjukkan bahawa janji-Nya yang keempat hanya akan dipenuhi pada saat Dia datang kembali. Hari tersebut masih dinantikan oleh seluruh ciptaan, iaitu ketika Tuhan akan mengambil manusia dari setiap suku dan bangsa menjadi umat-Nya sendiri.
Hari ini dengan mengambil bahagian dalam Perjamuan Kudus, kita bukan sahaja mengenangkan pengorbanan Yesus di kayu salib, tetapi juga menantikan kedatanganNya kembali. Kita mengingati kata-kata Paulus: “Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan, sehingga Dia datang” (1 KORINTUS 11:26). Marilah kita bersedia untuk kedatangan Yesus yang kedua kali. Maranatha.
Renungan
- Bagaimanakah pengertian yang mendalam tentang upacara hari Paska dapat membantu anda menghargai Perjamuan Tuhan, yang juga dikenali sebagai Perjamuan Kudus?
- Bagi anda, apakah maknanya mengambil bahagian dalam Perjamuan Kudus bersama dengan saudara seiman yang lain pada hari ini? Bagaimanakah anda bersaksi tentang kematian Tuhan sehingga Dia datang kembali?
Doa
Ya Tuhan yang hidup, perbaharuilah kami dengan Roti Hidup dari syurga yang meneguhkan iman kami, menambah harapan kami dan memperdalam kasih kami kepada-Mu. Semoga kami tetap setia memberitakan pengorbanan Kristus sehingga Dia datang kembali. Dalam nama Yesus kami berdoa, amin.