Bacaan Alkitab: MARKUS 14:53–65

Apabila orang lain melemparkan pelbagai tuduhan terhadap diri kita, sikap semula jadi kita adalah kita mahu mempertahankan diri. Kita mahu membuktikan bahawa kita tidak bersalah. Sebaliknya,
Yesus enggan menjawab semua tuduhan semasa berada dalam pengadilan. Sehinggalah pada waktu Imam Agung, Kayafas (MATIUS 26:57, 63–64), bertanya jika Dia adalah Penyelamat yang diutus oleh Tuhan, akhirnya Yesus mula bersuara dan menjawab dengan tegas. Yesus membayar harga mahal kerana bersikap jujur. Kayafas menganggap jawapan Yesus mengkufuri Tuhan, satu tuduhan yang membawa hukuman mati, seperti yang diumumkan oleh mahkamah orang Yahudi pada keesokan hari. Disebabkan kejujuran-Nya, Yesus diseksa sebelum Dia diserahkan kepada pegawai Roma (MARKUS 14:65).

Kayafas muncul kembali dalam Kisah Rasul-Rasul 4:1-22, setelah Petrus dan Yohanes menyembuhkan lelaki yang lumpuh. Bersama dengan para pemimpin bangsa Yahudi dan guru-guru Taurat, dia memberi amaran kepada kedua-dua orang rasul dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dalam namaNya. Namun, Petrus dan Yohanes tetap teguh dengan pendirian mereka dan mencabar para pemimpin Yahudi: “Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar” (AYAT 19–20). Mereka terus memberitakan nama Yesus tanpa rasa takut.

Bagaimana pula dengan kita? Apabila situasi menyeru kita untuk teguh dengan pendirian yang benar, apakah respons kita? Adakah kita lebih suka memilih untuk mempertahankan diri dan reputasi kita, tetapi cenderung berdiam dalam mempertahankan nama dan kemuliaan Tuhan di dunia yang menyanjung pluralistik (kepelbagaian) pada hari ini? Marilah kita belajar daripada Petrus dan Yohanes, yang berani memberitakan nama Yesus walaupun dalam situasi yang paling tidak menyenangkan.

Renungan

  1. Mengapakah Yesus tetap berdiam semasa pengadilanNya, dan hanya bersuara apabila persoalan tentang identiti-Nya sebagai Penyelamat dikemukakan?
  2. Semasa pengadilan Yesus, Petrus menyangkal Yesus tiga kali. Namun, apabila dia dan Yohanes berdepan dengan Imam Agung yang sama yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus, dia amat berani. Apakah yang telah menyumbang kepada perubahan yang ketara ini? Apa yang menghalang anda menjadi seperti Petrus?

 

Doa

Tuhan Yesus, Engkau tetap berpegang teguh kepada panggilan-Mu sebagai Mesias semasa pengadilan-Mu. Bantulah kami untuk mengetepikan segala sesuatu yang menjatuhkan kami dan dosa yang menjerat kami. Biarlah kami menumpukan sepenuh perhatian kepadaMu sambil berlari dengan tekun dan menamatkan perlumbaan yang telah Engkau tetapkan untuk kami. Dalam nama Yesus, amin.