Dalam Perjanjian Lama, Bukit Zaitun (sebuah bukit yang terletak di sebelah timur Yerusalem) dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang menyayat hati. Raja Daud melarikan diri daripada diburu oleh anaknya, Absalom dan mendaki bukit itu sambil menangis (2 SAMUEL 15:30). Raja Salomo telah membina mazbah, kuil dan tempat pemujaan bagi dewa Kamos dan Molokh di situ (1 RAJA-RAJA 11:7), sehingga bukit itu dikenali sebagai Bukit Kerosakan atau Bukit Kehancuran (2 RAJA-RAJA 23:13, AVB). Bukit Zaitun ialah satu peringatan terhadap apa yang berlaku sekiranya manusia berbuat jahat di mata Tuhan dan tidak bertaubat daripada dosa mereka.
Seperti kebanyakan orang pada masa itu, pengikut Yesus juga terpegun dengan keindahan seni bina Rumah Tuhan. Tetapi Yesus tidak merasakan sedemikian. Ketika mereka berada di Bukit Zaitun, Yesus memandang Rumah Tuhan di hadapan mereka lalu memberitahu mengenai kemusnahan yang bakal berlaku ke atas Rumah Tuhan (MARKUS 13:1–4). Dia berulang-ulang menggunakan perkataan “berjagajagalah” (MARKUS 13:5, 9, 33) dan “berwaspadalah” (MARKUS 13:35, 37) untuk menegaskan kepada para pengikut-Nya supaya bersiap sedia menghadapi kemusnahan yang bakal berlaku dan sentiasa berjaga-jaga menantikan kedatangan-Nya yang kedua kali. Dia tidak mahu mereka menjadi leka dan disesatkan.
Amaran yang disebutkan Yesus juga ditujukan kepada kita pada hari ini. Ketika kita berhadapan dengan “Bukit Zaitun” kita sendiri dan melihat kecantikan luaran kehidupan kita, mungkin kita tergoda untuk berfikir bahawa kehidupan kita akan menjadi baik-baik sahaja. Namun, sekiranya kita jujur dengan diri kita sendiri dan melihat jauh ke dalam diri kita, apakah yang akan kita temui? Adakah kita sama dengan orang yang disebutkan dalam Alkitab yang tidak mahu bertaubat? Atau adakah kita telah bersedia sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga sepanjang masa untuk kedatangan Yesus yang kedua kalinya? Marilah kita menyelidiki kehidupan kita setiap masa dan hidup dengan menantikan kedatangan-Nya yang kedua kalinya, supaya kita sentiasa berjaga-jaga dan tidak leka.
Renungan
- Adakah “Bukit Kerosakan” dalam hidup anda dan jemaah anda pada hari ini? Sekiranya ada, apakah yang anda perlu lakukan untuk membuang kerosakan tersebut?
- Mesej utama dalam Markus 13 adalah sentiasa “berjaga-jaga” dan “berwaspada.” Bagaimanakah anda boleh berjaga-jaga pada hari ini sambil menantikan kedatangan Yesus untuk kedua kalinya?Apakah perubahan yang anda perlu buat dan perbezaan yang anda boleh lakukan setelah mengetahui Yesus akan kembali?
Doa
Tuhan Yang Maha Kuasa, tolonglah kami terus berjagajaga dan sentiasa berwaspada sementara menunggu kedatangan Anak-Mu. Jauhilah kami daripada berbuat dosa. Jadikan kami setia melayani-Mu dan bergembira dalam harapan. Dalam nama Yesus, amin.