Menara Eiffel di Paris, menara jam Big Ben di London dan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur merupakan contoh simbol ikonik bagi sesebuah ibu kota zaman kini. Pada abad pertama, Rumah Tuhan yang tersergam megah di Yerusalem merupakan lambang utama di bandar tersebut. Setiap penziarah yang pergi ke Yerusalem akan terpegun melihatnya. Walau bagaimanapun, ini bukan halnya bagi Yesus. Pada hari selepas Dia masuk ke Yerusalem, Yesus menyucikan Rumah Tuhan dengan mengusir semua orang yang berjual beli di situ dan para penukar wang (MARKUS 11:15–16).
Rumah Tuhan mempunyai sebuah kawasan yang disebutkan pelataran ibadah untuk orang bukan Yahudi, sebuah tempat untuk menyembah Tuhan. Papan-papan tanda yang melarang orang bukan Yahudi masuk ke
bahagian dalaman Rumah Tuhan dipamerkan pada dinding di sekitar kawasan tersebut. Apabila Yesus melawat Rumah Tuhan, Dia mendapati kawasan itu penuh sesak dengan peniaga dan penukar wang (MARKUS 11:15). Kegiatan yang dilakukan mereka telah memenuhi satu-satunya ruang tempat orang bukan Yahudi yang datang untuk mencari dan menyembah Tuhan.
Kehadiran penukar wang dan penjual burung merpati yang menyasarkan orang miskin juga menaikkan amarah Yesus. Hukum Musa membenarkan orang miskin mempersembahkan dua ekor burung merpati sebagai korban persembahan. Namun mereka dipaksa membeli burung merpati dalam harga yang melambung tinggi daripada peniaga yang diluluskan oleh pihak berkuasa di Rumah Tuhan. Selain itu, mereka juga perlu menukarkan mata wang Roma (yang memaparkan muka Kaisar) dengan kadar pertukaran syikal (wang perak) yang tidak adil di Rumah Tuhan. Orang miskin dirompak, bukan sekali tetapi dua kali: apabila mereka menukarkan wang dan ketika mereka membeli dua ekor burung merpati.
Rasuah dan rompakan yang berlaku di Rumah Tuhan telah menggantikan penyembahan sejati. Dengan menyucikan Rumah Tuhan, Yesus mengisytiharkan penghakiman Tuhan dan memberi amaran bahawa hari-hari di Rumah Tuhan sudah menghampiri penghujungnya. Bagaimana dengan gereja kita pada masa sekarang? Adakah budaya dan amalan dalam gereja kita telah menghalang orang yang belum percaya untuk mengenali Tuhan?
Renungan
- Yesus menyucikan Rumah Tuhan dengan mengusir penukar wang dan peniaga kerana kegiatan mereka telah merosakkan Rumah Tuhan. Sekiranya Yesus melawat gereja anda pada hari ini, adakah Dia akan berasa puas hati dengan apa yang dilihatNya?
- Menurut anda, adakah Yesus akan menyucikan gereja anda? Apakah yang akan disucikan-Nya?
Doa
Tuhan Yesus, terima kasih kerana Engkau telah menyucikan Rumah Tuhan daripada segala bentuk kerosakan dan kejahatan. Kuatkanlah tanganku yang telah menerima tubuh-Mu untuk melayani-Mu, kurniakan mataku yang melihat kemuliaan-Mu, lidah yang memuji-Mu, telinga yang mendengarkan firman-Mu dan mulut yang mengisytiharkan kebaikan-Mu. Semoga kami sentiasa berlaku adil, mengamalkan kebaikan dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan-Mu. Dalam nama-Mu kami berdoa, amin.