Penulis

Lihat semua
John Blase

John Blase

John ialah pengkhutbah lebih daripada 10 tahun tetapi dia membuat keputusan untuk mula menulis dan menjual sajaknya. Pada waktu siang dia bekerja sebagai editor perkembangan bagi WaterBrook & Multnomah Publishers di Colorado Springs, Colorado. Walaupun dia tinggal di kawasan Barat, dia tetap orang yang berjiwa Selatan. Buku-buku yang ditulisnya termasuk: The Jubilee: Poems; Know When to Hold ’Em: The High Stakes Game of Fatherhood; Touching Wonder: Recapturing the Awe of Christmas; dan All Is Grace: A Ragamuffin Memoir. Dia berkata dia orang yang bahagia kerana memiliki seorang isteri yang cantik dan tiga orang anak yang menyerupai ibu mereka.

Artikel oleh John Blase

Bapa Kami

Saya akan membaca Doa Bapa Kami hampir setiap pagi. Selagi kata-kata doa itu belum berakar umbi dalam diri saya, saya kurang bersedia menghadapi hari yang baru. Baru-baru ini saya hanya melafazkan dua perkataan pertama―”Bapa kami”―tiba-tiba telefon saya berbunyi. Saya berasa hairan kerana waktu itu jam menunjukkan pukul 5:43 pagi. Siapa ya? Skrin telefon menunjukkan “Bapa.” Sebelum saya sempat menjawab, panggilan sudah berakhir. Saya teka bahawa bapa telah memanggil saya secara tidak sengaja. Tepat tekaan saya, dia telah silap memanggil. Ini satu kebetulan? Mungkin, tetapi saya percaya kita hidup di dunia yang diliputi belas kasihan Tuhan. Pada hari itu, saya terutamanya memerlukan janji Bapa kita bahawa Dia sentiasa hadir.

Pendedahan dan Keyakinan

Acara mendedahkan jantina bayi pada tahun 2019 sungguh dramatik. Pada bulan Julai, satu video memperlihatkan sebuah kereta yang mengeluarkan asap biru untuk menunjukkan, “Inilah anak lelaki!” Pada bulan September, sebuah pesawat terbang pertanian di Texas menyimbah beratus-ratus gelen air merah jambu untuk mengumumkan, “Inilah anak perempuan!” Bagaimanapun, terdapat satu lagi “pendedahan” tentang perkara-perkara penting mengenai dunia ini, tempat yang kanak-kanak ini akan dibesarkan. Pada akhir tahun 2019, YouVersion (laman web Alkitab) mendedahkan bahawa ayat Alkitab yang paling banyak dikongsi, ditonjolkan dan ditandai pada tahun itu atas talian dan aplikasi telefon pintar ialah Filipi 4:6, “Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.”

Suara Bapa

Ayah rakan saya meninggal baru-baru ini. Ketika jatuh sakit, keadaannya cepat merosot dan dia meninggal dalam beberapa hari. Rakan saya dan ayahnya mempunyai hubungan yang rapat, tetapi masih banyak soalan yang belum diajukan, jawapan yang belum dijawab, dan banyak lagi perbualan yang belum diadakan. Banyak hal yang belum dikatakan, dan sekarang ayahnya sudah tiada. Rakan saya merupakan seorang kaunselor terlatih: Dia memahami liku-liku kesedihan seseorang dan cara untuk membantu mereka. Tetapi dia memberitahu saya, “Kadangkala, aku hanya berharap untuk mendengar suara ayahku dan mengenang semula kasihnya. Ia sangat penting bagiku.”

Doa Tidak Dijawab

Adakah kita sudah sampai? / Belum lagi. / Adakah kita sudah sampai? / Belum lagi. Itulah permainan berulangan yang kami mainkan selama 16 jam pertama dalam perjalanan pulang (dan pastinya bukan kali terakhir) ke Arkansas dari Colorado ketika anak-anak kami masih kecil. Anak sulung dan anak kedua saya terus-menerus bermain permainan itu. Sekiranya saya mengeluarkan RM1.00 setiap kali mereka bertanya, tentu saya sudah memiliki timbunan wang ringgit. Itulah soalan yang anak-anak saya sangat ingin tahu, tetapi saya (pemandu) juga turut tertanya-tanya, Adakah kita sudah sampai? Jawapannya ialah Belum lagi, tetapi sekejap lagi.

Memberi Selagi Hidup

Seorang usahawan yang berjaya berusaha untuk mendermakan kekayaannya dalam beberapa dekad terakhir hidupnya. Sebagai seorang jutawan, dia menyumbangkan wang tunai untuk pelbagai tujuan seperti membawa keamanan di Ireland Utara dan memodenkan sistem penjagaan kesihatan di Vietnam. Tidak lama sebelum dia meninggal, dia menghabiskan 3.51 bilion dolar Amerika Syarikat untuk mengubah Pulau Roosevelt di Bandar Raya New York menjadi sebuah pusat teknologi. Usahawan itu berkata, “Saya sangat percaya bahawa kita harus menderma selagi kita masih hidup. Aku tidak melihat apa-apa alasan untuk melengahkan menderma. Tambahan pula, adalah lebih menyeronokkan untuk memberi semasa anda masih hidup berbanding daripada memberi selepas anda meninggal.” Berilah selagi anda hidup—inilah sikap yang luar biasa.

Kita Memerlukan Komuniti Gereja

Saya merupakan anak sulung seorang mubaligh gereja Baptis Selatan. Setiap hari Ahad, saya dijangka mesti menghadiri kebaktian. Saya hanya tidak hadir jika saya sakit demam. Sebenarnya saya sangat suka pergi ke gereja walaupun ada beberapa kali saya demam. Tetapi keadaan ini telah berubah. Jumlah kehadiran di gereja tidak lagi seperti dahulu. Soalan yang kita perlu tanya ialah mengapa? Ada banyak jawapan yang berbeza. Kathleen Norris, seorang penulis menjawab soalan itu dengan memetik respons daripada seorang pastor, “Mengapakah kita pergi ke gereja?” Dia berkata, “Kita pergi ke gereja demi orang lain. Seseorang mungkin memerlukan anda hadir di situ.”

Penyembah yang Benar 

Akhirnya, penulis Annie Dillard berpeluang mengunjungi gereja tersebut. Di bahagian bawah tanah gereja yang paling dalam, dia tiba di sebuah gua kecil. Lilin memenuhi ruang yang sempit itu dan lampu yang tergantung telah menerangi suatu sudut lantai. Sebuah bintang perak yang mempunyai 14 penjuru telah menutupi lantai marmar tersebut. Annie berada di Gua Kelahiran Yesus (Grotto of the Nativity) di Betlehem yang menandakan tempat kelahiran Kristus menurut tradisi. Tetapi bagi Annie Dillard, dia berpendapat bahawa Tuhan jauh lebih besar berbanding tempat itu. 

TUHAN MENYANYI KERANA ANDA

Tujuh belas bulan selepas menyambut kelahiran anak pertama kami, iaitu seorang anak lelaki, anak perempuan kami dilahirkan. Saya sangat gembira kerana memiliki anak perempuan, tetapi juga sedikit gementar. Ini kerana walaupun saya tahu serba sedikit tentang anak lelaki, saya tiada pengalaman untuk menjaga anak perempuan. Kami menamai anak perempuan kami Sarah. Salah satu tugas saya adalah mengayunnya sehingga dia tertidur supaya isteri saya dapat berehat. Saya tidak pasti mengapa, tetapi sejak itu, saya mula menyanyi untuk menidurkannya, dan lagu pilihan saya ialah “You Are My Sunshine” (“Kaulah Sinaran Matahariku”). Sama ada mendukungnya atau berdiri sambil melihatnya dalam ayunan, saya menyanyi dengan gembira dan menghayati setiap detik itu. Sekarang anak perempuan saya berumur 20-an, dan saya masih memanggilnya Sunshine (sinaran matahari).

Pendermaan Plasma

Setiap petang Jumaat, keluarga saya menonton berita nasional yang berakhir dengan kisah yang menggembirakan. Berita ini selalu menarik dan berbeza dengan berita yang lain. Kisah baru-baru ini memfokuskan seorang wartawan yang sembuh sepenuhnya daripada COVID-19, dan dia memutuskan untuk menderma plasmanya bagi membantu orang lain yang sedang berjuang menghadapi virus tersebut. Pada masa itu, masih belum ada bukti yang mengesahkan keberkesanan antibodi. Tetapi memandangkan ramai antara kita berasa tidak berdaya, bahkan takut untuk menderma plasma (melalui jarum), dia berasa sumbangannya hanyalah “pengorbanan yang kecil berbanding dengan hasil yang mungkin mendatang.”