Kebanyakan pertubuhan amal menolong orang ramai yang mempunyai pelbagai jenis keperluan, bergantung kepada sumbangan seperti pakaian dan barangan rumah terpakai yang didermakan oleh orang yang berkemampuan. Memang ada kebaikannya untuk mendermakan barangan tersebut agar boleh memanfaatkan orang lain. Namun adakalanya sukar untuk kita berpisah dengan barangan tersebut.

Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, dia memerlukan dorongan dan persahabatan yang berterusan daripada rakan-rakan yang boleh dipercayai. Namun dia menghantar dua sahabat rapatnya untuk menolong para pengikut Yesus di Filipi (Filipi 2:19-30). “Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu … Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu” (ayat 19-20). Dan, “Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik” (ayat 25). Paulus dengan relanya memberi apa yang dia sendiri paling memerlukan kepada orang lain.

Apa pun yang kita anggap sebagai “paling berharga” dalam hidup kita sekarang ini mungkin akan lebih memanfaatkan orang lain yang kita kenal. Ini mungkin merujuk kepada masa kita, persahabatan, dorongan, seseorang untuk mendengar luahan hati, atau pun bantuan. Apabila kita memberi orang lain apa yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada kita, kita diberkati oleh-Nya.