Pada 28 Januari 1986, selepas penangguhan akibat cuaca sebanyak lima kali, kapal bolak-balik angkasa lepas Challenger bergerak dengan berat ke langit, bunyi bising yang gemuruh didengari dan nyala api dilihat. Dengan hanya 73 saat kemudian, kegagalan sistem mengecaikan kapal itu, dan kesemua tujuh anak kapalnya turut terkorban.

Kejadian tragedi ini berpunca daripada mohor O-ring (sejenis gasket jentera) yang terkenal dengan kelemahannya. Orang dalam merujukkan kesilapan yang membawa maut itu sebagai “go fever”, iaitu orang cenderung tidak mengambil langkah berjaga-jaga kerana ingin mengejar tujuan yang besar.

Sifat manusia yang bercita-cita tinggi selalu menarik kita membuat pilihan salah. Namun, kita juga cenderung dikuasai ketakutan yang menyebabkan kita terlalu berjaga-jaga. Orang Israel purba memperlihatkan kedua-dua sifat ini. Apabila 12 pengintip kembali dari Tanah Perjanjian, 10 daripada 12 pengintip itu hanya melihat halangan (Bilangan 13:26-33). “Tidak, kita tidak cukup kuat untuk menyerang mereka. Penduduknya lebih kuat daripada kita,” kata mereka (ayat 31). Selepas pemberontakan yang menakutkan terhadap Tuhan, yang membawa maut kepada 10 pengintip itu, umat Israel tiba-tiba menjadi terburu-buru. Mereka berkata, “Kami sudah bersiap untuk pergi ke tempat yang ditunjukkan TUHAN” (14:40). Tuhan tidak menyertai mereka, maka mereka mengalami kekalahan yang teruk ketika mereka melancarkan serangan pada masa yang salah (ayat 41-45).

Apabila kita tidak memandang kepada Tuhan, kita akan terjatuh kepada salah satu daripada dua tindakan yang keterlaluan ini: sama ada kita terburu-buru bertindak tanpa penyertaan Tuhan, ataupun kita meromok dan bersungut dalam ketakutan. Berfokus kepada Tuhan akan memberi kita keberanian disertai dengan hikmat-Nya.