Apabila pelukis Belanda yang hebat, Rembrandt meninggal dunia secara tiba-tiba pada umur 63, sekeping lukisan yang belum siap didapati pada kekuda lukisannya. Lukisan itu berfokus pada emosi Simeon yang mendukung bayi Yesus apabila Dia dibawa ke Rumah Tuhan di Yerusalem, 40 hari selepas kelahiran-Nya. Namun, Rembrandt belum siap melukis latar belakang dan butir-butir dalam lukisan itu. Beberapa orang pakar kesenian percaya bahawa Rembrandt menyedari hidupnya menjelang pengakhiran dan—seperti Simeon, dia bersiap sedia untuk “meninggal dengan tenteram” (Lukas 2:29).

Roh Kudus menyertai Simeon (ayat 25), maka dia berada di Rumah Tuhan bukan secara kebetulan apabila Yusuf dan Maria mempersembahkan anak lelaki sulung mereka kepada Tuhan. Simeon yang mencari Penyelamat yang dijanjikan, mendukung bayi itu dan memuji Tuhan, katanya: “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel” (ayat 29-32).

Simeon tidak merindukan zaman kegemilangan sejarah Israel, tetapi dia menanti akan Penyelamat yang dijanjikan, yang akan datang untuk menebus semua bangsa.

Seperti Simeon, kita boleh mempunyai pandangan yang penuh harapan dan ternanti-nanti akan masa depan dalam kehidupan kita, kerana kita tahu bahawa kita akan menemui Tuhan pada suatu hari nanti.