Semasa saya kecil, saya suka memanjat pokok. Semakin tinggi saya memanjat, semakin banyak benda yang dapat saya lihat. Kadangkala, untuk mendapat pemandangan yang lebih baik, saya akan pergi ke hujung dahan sehingga saya berasa ia melentur kerana berat saya. Tidak hairanlah, zaman memanjat pokok sudah berlalu bagi saya. Lagipun memanjat pokok itu tidak begitu selamat—atau tidak begitu beradab.

Zakheus, seorang yang kaya, mengetepikan maruahnya (mungkin juga mengabaikan keselamatannya) apabila dia memanjat sebuah pokok di Yerikho pada suatu hari. Yesus sedang melalui kota itu, dan Zakheus ingin melihat Yesus. Namun, “dia pendek, dia tidak dapat melihat Yesus” (Lukas 19:3). Mujurlah, kesemua hal itu tidak menghalang dia melihat dan bercakap dengan Kristus. Rancangan Zakheus berjaya! Apabila dia menemui Yesus, kehidupannya diubah selama-lamanya. “Penyelamatan telah datang kepada keluarga ini,” kata Yesus (ayat 9).

Kita juga mungkin dihalangi untuk menemui Yesus. Keangkuhan boleh membutakan kita melihat-Nya sebagai Kaunselor yang Ajaib. Kekhuatiran menghalang kita mengenali-Nya sebagai Raja Damai (Yesaya 9:5). Keinginan untuk mengejar status dan kemewahan boleh menghalang kita melihat-Nya sebagai sumber kepuasan yang benar—Roti yang Memberikan Hidup (Yohanes 6:48).

Apakah yang anda rela lakukan supaya mendapat pandangan yang lebih baik terhadap Yesus? Apa-apa usaha yang ikhlas untuk mendekati-Nya akan membawa hasil yang baik. Tuhan menganugerahi orang yang sungguh-sungguh mencari-Nya (Ibrani 11:6).