Dalam majlis pengebumian Charles Schulz (1922-2000), pengasas komik Peanuts yang digemari ramai, kawan dan rakan kartunisnya yang bernama Cathy Guisewite berkongsi tentang sifat Schulz yang berperikemanusiaan dan berbelas kasihan. “Dia merekakan watak-watak dalam komiknya untuk semua orang, yang dapat menonjolkan perasaan kita dengan tepat supaya perasaan kita difahami dan kita tidak berasa keseorangan. Kemudian dia menghasilkan watak komik yang berdasarkan dia sendiri, dan menjadikan kita tidak pernah berasa keseorangan … Dia mendorong kita. Dia turut bersimpati dengan kita. Watak-watak ini menjadikan dia seolah-olah serupa dengan kita.”

Apabila kita berasa bahawa tiada orang memahami atau boleh menolong kita, kita diingatkan Yesus memberikan diri-Nya, dan Dia tahu siapa kita dan apa yang kita melalui hari ini.

Ibrani 2:9-18 menunjukkan satu kebenaran yang agung bahawa Yesus sendiri “hidup dalam keadaan manusia” apabila Dia hidup di dunia (ayat 14). Dia “mati untuk semua orang” (ayat 9), dan “memusnahkan Iblis yang menguasai kematian” (ayat 14), dan “membebaskan mereka yang seumur hidup diperhamba, kerana takut akan kematian” (ayat 15). Yesus dilahirkan sama seperti kita, “menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal. Dengan demikian Dia dapat menjadi Imam Agung yang setia dan berbelas kasihan. Dengan pelayanan-Nya itu dosa manusia dapat diampunkan” (ayat 17). Terima kasih Tuhan, kerana Engkau menjadi manusia agar kita tahu pertolongan Tuhan hari ini dan hidup di hadirat-Mu selama-lamanya.