Galeri Potret Kebangsaan di London, England, menempatkan lukisan berharga daripada beberapa abad yang lalu, termasuk 166 imej Winston Churchill, 94 imej William Shakespeare dan 20 imej George Washington. Apabila melihat potret yang lebih lama, kita pasti tertanya-tanya: Adakah ini rupa sebenar setiap individu?

Contohnya, terdapat 8 buah lukisan patriot berbangsa Scotland yang bernama William Wallace (1270-1305). Tetapi kita tidak mempunyai gambar-gambar lain untuk membuat perbandingan. Bagaimanakah kita boleh pasti bahawa pelukis tersebut telah menggambarkan rupa William dengan tepat?

Perkara yang serupa juga berlaku dengan gambaran Yesus. Tanpa disedari, kita yang percaya kepada Yesus akan meninggalkan tanggapan tentang Yesus kepada orang lain. Bukan dengan berus lukisan dan cat warna, tetapi dengan sikap, perbuatan dan perhubungan sesama kita. Adakah kita sedang melukis sebuah potret yang mewakili sikap seperti hati Yesus? Ini adalah kebimbangan rasul Paulus. “Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus” (Filipi 2:5), tulisnya. Paulus mempunyai kerinduan untuk mengajar pengikutnya agar mereka mewakili Yesus dengan betul, dan menggesa mereka menunjukkan sikap rendah hati, rela berkorban dan belas kasihan seperti yang ditunjukkan oleh Yesus terhadap orang lain.

Ada orang yang berkata, “Hanya melalui kita barulah mereka boleh melihat gambaran Yesus.” Apabila kita “… dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri” (ayat 3), kita akan menunjukkan dunia tentang hati dan sikap Tuhan Yesus.